Murid SK Putrajaya Presiden 17(1) teruja terlibat Sidang Kemuncak ASEAN

Murid SK Putrajaya Presint 17(1) teruja terlibat Sidang Kemuncak ASEAN

MURID-murid SK Putrajaya Presint 17(1) dan guru pengiring ketika ditemui di KLCC, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 30 orang murid dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 17(1) akan terlibat dalam persembahan Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Wakil guru pengiring, Norul Akmal Muhammad Yusof berkata, penyertaan murid-murid sekolah itu bagi mewakili sekolah rendah dari Putrajaya dalam acara beprestij antarabangsa merupakan penghormatan besar.

“Kami membawa 30 orang murid bersama dua orang guru pengiring bagi menyertai raptai majlis penutupan ASEAN.

“Sekolah kami antara tiga sekolah yang terpilih iaitu SK Putrajaya Presint 17(1), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 5(1) dan Cempaka International School,” katanya.

Katanya, semua murid telah menunjukkan semangat yang tinggi sejak awal dan teruja menyertai program tersebut.

“Mereka memang sangat teruja. Bila saya pilih mereka, tiada seorang pun yang menolak.

“Kebanyakan mereka memang aktif dan pernah mewakili Putrajaya ke peringkat kebangsaan dalam pelbagai bidang seperti bola jaring, olahraga dan juga choral speaking,” ujarnya.

Tambah Norul Akmal, penyertaan pelajar dalam acara itu bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada mereka tetapi turut menjadi platform untuk memupuk semangat patriotisme dan keyakinan diri.

“Ramai antara mereka cemerlang bukan sahaja dalam akademik tetapi juga kokurikulum.

“Ini juga sebahagian daripada usaha sekolah membentuk pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek,” katanya.

Sementara itu, pelajar, Ahmad Muqree Mohd Mazmee, 12, berkata, dia berasa sangat gembira dan teruja kerana berpeluang menyertai program besar peringkat kebangsaan.

“Saya seronok sangat sebab bukan selalu dapat peluang macam ni. Sekolah pun bangga apabila kami dapat wakili Putrajaya,” katanya.

Bagi Airis Adelia Asrul, 12, pula pengalaman tersebut memberi peluang kepadanya mengenali budaya negara lain dan mempelajari bahasa baharu.

“Saya gembira dan teruja sebab saya minat negara Thailand. Saya juga belajar ucap aluan dalam bahasa Thai untuk sambutan esok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×