MTL: Pantai Timur terima tujuh episod hujan lebat jika La Nina berlaku - Utusan Malaysia

MTL: Pantai Timur terima tujuh episod hujan lebat jika La Nina berlaku

NOR Yahati Awang semasa menyampaikan ucapan perasmian Forum Iklim Kebangsaan 2025 dan Kesiapsiagaan Bencana di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tujuh episod hujan lebat dijangka melanda negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sekiranya fenomena La Nina berlaku semasa Monsun Timur Laut (MTL) melanda kawasan tersebut.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Nor Yahati Awang berkata, hujan lebat yang signifikan itu dijangka berlaku pada awal November hingga Disember tahun ini.

Menurutnya, bagaimanapun situasi itu mampu berterusan sehingga penghujung Mac tahun hadapan yang mengakibatkan ketiga-tiga negeri Pantai Timur itu dilanda banjir.

“Selain Pantai Timur, Sabah dijangka turut terkena tempias MTL akibat La Nina antara November 2025 hingga Februari 2026. Johor dan Sarawak pula antara Januari hingga awal Mac 2026.

“Kehadiran luruan monsun yang kuat boleh menyebabkan hujan lebat berterusan di pantai timur merebak ke negeri-negeri pantai barat Semenanjung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Iklim Kebangsaan 2025 dan Kesiapsiagaan Bencana di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Nor Yahati memberitahu, unjuran terkini keadaan iklim global menunjukkan bahawa fenomena El Nino–Southern Oscillation (ENSO) dijangka beralih kepada keadaan La Nina pada suku keempat tahun ini.

Katanya, berdasarkan maklumat terkini yang diberikan oleh model-model iklim terkemuka, keadaan ini berpotensi menyebabkan keadaan cuaca yang lebih lembap berbanding kebiasaan, terutamanya di Sabah.

“Kewujudan sistem tekanan udara rendah di Laut China Selatan yang bergerak merentasi Semenanjung Malaysia ke arah barat turut berpotensi menyumbang kepada kejadian hujan lebat yang berpanjangan di kebanyakan negeri,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN