Misi Sumud Flotilla buka mata dunia terhadap kezaliman Israel - Utusan Malaysia

Misi Sumud Flotilla buka mata dunia terhadap kezaliman Israel

FATHUL BARI MAT JAHYA.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengorbanan aktivis dan sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang disekat, ditahan dan diancam oleh rejim Zionis telah membuka mata dunia terhadap kezaliman Israel.

Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, apa yang dilalui sukarelawan tersebut memperlihatkan kepada umat manusia siapakah sebenarnya penindas.

“Perjuangan tersebut bukan hanya tentang sumbangan yang sampai atau tidak tetapi tentang kesedaran yang dibangkitkan dan keberanian yang diwariskan. Mereka telah berjaya membuka mata dunia terhadap kezaliman Israel seterusnya memperlihatkan kepada umat manusia siapa sebenarnya penindas dan siapa yang tertindas,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Fathul Bari yang juga Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa (iKAF) berkata, perbahasan berhubung hukum penyertaan golongan wanita bermusafir tanpa mahram terutama apabila melibatkan misi bantuan kemanusiaan seperti GSF perlu dibincang mengikut kerangka ilmu dan adab.

Beliau berkata, dalam semangat menghargai pengorbanan sukarelawan terlibat dalam misi itu, Islam sememangnya mengajar umatnya agar setiap perjuangan sentiasa berpaksikan panduan syariat dan pertimbangan fiqh yang seimbang.

Katanya, dalam keghairahan membela kebenaran, setiap pihak juga tidak boleh memisahkan antara semangat dan syariat serta keberanian dan keilmuan.

“Antara perkara yang saya dapati dibahaskan oleh sebahagian netizen ialah hukum perjalanan wanita tanpa mahram dalam misi kemanusiaan dan bantuan yang tentunya mengundang risiko besar termasuk ancaman keselamatan, fitnah dan tekanan musuh.

“Sebenarnya perbahasan ini telah diwacanakan oleh sarjana Islam terdahulu dan kontemporari. Ia adalah perbahasan fiqh yang perlu dinilai dengan hikmah dan timbangan maslahat serta mafsadah, sesuai dengan konteks dan keadaan.

“Pada saya, perbincangan sebegini tidak wajar dianggap sebagai penafian terhadap kebaikan usaha tersebut, selama mana ia dibincangkan dalam kerangka ilmu dan adab,” katanya.

Mengulas lanjut, Fathul Bari berkata, setiap pandangan diberikan perlu dilihat sebagai teguran ilmiah dalam memperindahkan perjuangan agar ia kekal berpaksikan disiplin syarak.

“Teguran diberikan bukan bertujuan melemahkan semangat tetapi menyucikan niat, menambah keberkatan dan memperkukuh nilai perjuangan di sisi Allah SWT.

“Maka dalam menilai dan menghargai usaha besar seperti GSF, kita hendaklah bersikap adil dan berlapang dada, mengiktiraf keikhlasan dan keberanian para sukarelawan, sambil tetap mengingatkan agar setiap perjuangan kemanusiaan dituntut oleh panduan syarak,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN