WASHINGTON: Walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berjaya meyakinkan sekutunya, Benjamin Netanyahu untuk menghentikan keganasan di Gaza, cabaran sebenar kini tertumpu kepada kestabilan dan keamanan kekal pasca gencatan senjata.
Dengan rekod Israel sebelum ini sering melanggar perjanjian, kemenangan sebenar Trump bukan sekadar mencapai gencatan senjata, tetapi memastikan ia tidak dikhianati.
Pakar berpendapat, perjanjian tergesa-gesa yang dimeterai di Mesir kelmarin masih meninggalkan banyak persoalan yang belum terjawab dan dikhuatiri menggugat pelaksanaan fasa awal serta menjejaskan kemajuan rundingan seterusnya.
Ramai penganalisis mengiktiraf peranan Trump dalam membuka peluang damai paling meyakinkan setakat ini, namun tugas segera beliau kini adalah memperincikan butiran praktikal di atas kertas termasuk penghentian serangan, pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin serta pengunduran sebahagian tentera Israel dari Gaza.
Selepas itu, rundingan perlu beralih kepada aspek lain dalam pelan 20 perkara Trump yang masih menjadi pertikaian besar antara kedua-dua pihak termasuk pelucutan senjata Hamas, pengisytiharan rasmi tamat konflik serta isu pentadbiran Gaza pasca perang.
Semua isu ini tiada dibincangkan secara mendalam dalam rundingan tidak langsung selama tiga hari di pusat peranginan Sharm el-Sheikh yang dihadiri menantu Trump, Jared Kushner dan utusan khas Asia Barat, Steve Witkoff.
“Wujud terlalu banyak halangan yang boleh menentukan sama ada gencatan senjata ini menjadi permulaan kepada keamanan atau sekadar satu lagi episod dalam kitaran keganasan,” kata bekas pegawai risikan kanan AS untuk Asia Barat yang kini di Majlis Atlantik, Washington, Jonathan Panikoff.
Beliau berkata, bagi memastikan perjanjian itu tidak terkubur seperti usaha terdahulu, komitmen berterusan serta usaha terperinci oleh pasukan keselamatan nasional Trump diperlukan.
Tetapi ia sesuatu yang mencabar memandangkan pasukannya kini kekurangan tenaga pakar akibat pemotongan kakitangan dan terjejas oleh penutupan kerajaan persekutuan.
“Buat masa ini, Trump yang mendakwa perjanjian itu membuktikan beliau layak menerima Hadiah Nobel Keamanan dilihat berjaya menggerakkan momentum ke arah perdamaian Gaza melebihi jangkaan ramai penganalisis.
“Jika disempurnakan, ia bakal menjadi kejayaan besar dasar luar bagi presiden Republikan itu yang berkempen untuk membawa keamanan ke zon konflik dunia walau sebelum ini gagal melakukannya dengan pantas, termasuk dalam perang Russia-Ukraine,” katanya.
STRATEGI TRUMP
Pasukan penasihat Trump mengambil kesempatan daripada kemarahannya terhadap Netanyahu berhubung serangan di Doha untuk menekan pemimpin Israel itu agar menerima rangka pelan penamatan perang.
Pelan itu kemudian dibentangkan kepada pemimpin Islam di luar sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu, menurut sumber yang mengetahui rundingan tersebut.
Jika Netanyahu sebelum ini mudah menepis tekanan bekas Presiden AS, Joe Biden, beliau kini berdepan kesukaran untuk menolak kehendak Trump, meskipun terdapat kebimbangan dalaman di Israel terhadap pelan Gaza yang membuka ruang kepada kemungkinan pembentukan negara Palestin.
Menurut bekas penasihat dasar Asia Barat kepada pentadbiran Republikan dan Demokrat, Dennis Ross, tinjauan awam menunjukkan Trump kini lebih popular berbanding Netanyahu dalam kalangan rakyat Israel.
Netanyahu juga berdepan risiko politik besar di dalam negeri, termasuk kemungkinan anggota sayap kanan dalam kerajaan gabungannya menarik diri akibat konsesi yang dipersetujui.
Trump dilaporkan bersedia berkunjung ke Israel hujung minggu ini ketika tebusan dijangka dibebaskan. Netanyahu turut menjemputnya untuk berucap di Parlimen Israel.
Namun, masih banyak butiran awal perjanjian belum dimuktamadkan, termasuk senarai akhir tahanan Palestin yang akan dibebaskan sebagai pertukaran dengan 20 tebusan Israel yang masih hidup dan kira-kira 28 yang disahkan sudah meninggal dunia.
Persoalan jangka panjang tentang masa depan Gaza juga masih samar, sama ada Hamas akan dibenarkan menyertai pentadbiran wilayah itu, walaupun jelas ditolak oleh Trump dan Netanyahu selain isu entiti yang akan membiayai usaha pemulihan wilayah tersebut.
Usaha mencari keamanan di Asia Barat menjadi cabaran terbesar bagi setiap presiden AS sejak era Jimmy Carter hingga Joe Biden.
Namun sesetengah penganalisis melihat masih ada sinar harapan untuk sekurang-kurangnya menghentikan kemusnahan terbaharu itu.
KEDAMAIAN PALSU
Trump sedar isu Asia Barat, khususnya konflik Israel-Palestin, sentiasa menjadi medan ujian kredibiliti bagi mana-mana pemimpin global.
Kejayaan mengakhiri perang di Gaza, walaupun hanya di atas kertas, akan menjadi modal politik besar yang boleh dijual kepada pengundi Amerika sebagai bukti kepimpinannya berwibawa.
Namun, keghairahan Trump untuk mencapai kejayaan diplomatik dengan pantas menunjukkan beliau kurang peka terhadap realiti di lapangan.
Rundingan damai kini bukan sekadar mengenai penandatangan perjanjian, tetapi melibatkan aspek kemanusiaan, keselamatan dan perdamaian yang lama terhakis antara kedua-dua pihak bermusuh.
Tidak mustahil pendekatan terburu-buru Trump tanpa pelaksanaan yang jelas berisiko mencipta ‘kedamaian palsu’, di mana penderitaan rakyat Palestin tidak berakhir meskipun perjanjian dimeterai.
Bagi memastikan usaha damai benar-benar bermakna, pelan Trump tidak boleh condong memihak kepada Israel atau menekan Palestin, kerana perdamaian sebenar tidak boleh berasaskan kepada ketidakseimbangan kuasa.
Tanpa prinsip itu, sebarang rundingan hanya akan menjadi simbol politik sementara, bukan jalan penyelesaian sebenar bagi penderitaan yang berlarutan lebih tujuh dekad di bumi Gaza.










