KAHERAH: Mesir akan menganjurkan persidangan Palestin yang komprehensif untuk membincangkan masa depan Gaza susulan kesediaan Hamas membebaskan tebusan Israel, lapor saluran televisyen tempatan, Al Qahera News.
Menurut laporan Anadolu, memetik sumber yang tidak dinamakan, rundingan itu akan membincangkan hala tuju politik dan pentadbiran Gaza pada masa hadapan.
“Persiapan sedang dibuat untuk mengadakan dialog menyeluruh Palestin bagi membincangkan masa depan Gaza,” kata sumber itu tanpa menjelaskan tarikh sebenar penganjuran sidang tersebut.
Sumber berkenaan turut memaklumkan antara agenda utama perbincangan adalah mencari kaedah bagi mewujudkan keadaan di lapangan yang membolehkan pertukaran tahanan antara Palestin dan Israel dilaksanakan.
Menurut seorang pegawai Hamas yang turut dipetik stesen penyiaran itu semalam, Mesir akan menjadi tuan rumah sidang berkenaan yang akan menumpukan perbincangan terhadap masa depan pentadbiran Gaza.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar Mesir mengesahkan hasrat Kaherah untuk terus bekerjasama dengan negara Arab dan Islam, selain Amerika Syarikat (AS), Eropah serta masyarakat antarabangsa bagi mencapai gencatan senjata kekal, mengurangkan penderitaan rakyat Palestin, dan membangunkan semula Gaza.
Pada Jumaat lalu, Hamas menyerahkan maklum balas terhadap pelan Gaza yang dibentangkan Presiden AS, Donald Trump, melalui perantara, dengan menegaskan kesediaan kumpulan itu membebaskan semua tebusan Israel sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia.
Hamas juga bersetuju menyerahkan pentadbiran Gaza kepada sebuah badan teknokrat Palestin yang dibentuk berdasarkan konsensus nasional.
Pihak berkuasa Israel di Tel Aviv menganggarkan terdapat 48 tebusan warga Israel di Gaza, termasuk 20 yang masih hidup.
Sebaliknya, penjara-penjara Israel kini menempatkan kira-kira 11,000 tahanan Palestin, yang menurut laporan hak asasi manusia, ramai antara mereka berdepan layanan buruk, kekurangan makanan dan rawatan perubatan, malah beberapa tahanan dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tahanan.
Pada 29 September lalu, Trump mengumumkan pelan 20 perkara yang menyeru kepada pembebasan tebusan Israel, pelaksanaan gencatan senjata serta pelucutan senjata Hamas.
Sejak Oktober 2023, serangan udara Israel telah mengorbankan lebih 67,000 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sekali gus menjadikan wilayah itu hampir mustahil untuk didiami. – AGENSI










