Malaysia-Brazil perkukuh kerjasama, lima MoU dimeterai

Malaysia-Brazil perkukuh kerjasama, lima MoU dimeterai bidang teknologi, sains, pertanian

LUIZ Inacio Lula Da Silva bersalaman dengan Anwar Ibrahim selepas sidang akhbar bersama di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Brazil sepakat memperkukuhkan kerjasama dalam bidang strategik merangkumi semikonduktor, teknologi makanan dan pendidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu akan memperkukuh hubungan sedia ada antara selain membuka ruang pertukaran kepakaran dan pelaburan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Perbincangan kami hari ini meliputi pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pelaburan dan tenaga. Bagi pihak Malaysia, saya berterima kasih atas sokongan anda (Brazil) terhadap Petronas.

“Kami juga bersetuju memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan, semikonduktor, teknologi makanan serta pendidikan,” katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva di Kompleks Seri Perdana, di sini sempena lawatan rasmi pemimpin itu ke Malaysia.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pemeteraian lima Memorandum Persefahaman (MoU) yang menandakan langkah baharu dalam memperkukuh hubungan dua hala, terutama dalam bidang teknologi, sains dan pertanian.

Daripada lima MoU yang dimeterai itu, tiga daripadanya melibatkan industri semikonduktor, manakala masing-masing satu MoU dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta kerjasama antara badan pemikir kedua-dua negara.

Selain itu, pertukaran Nota Diplomatik antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) Malaysia dan Instituto Rio Branco Brazil yang akan memperkukuh latihan serta pertukaran pegawai diplomatik.

Pada masa sama, Surat Hasrat (LoI) turut ditandatangani antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Perbadanan Penyelidikan Pertanian Brazil (EMBRAPA) bagi memperluas kerjasama dalam bidang penyelidikan pertanian dan keselamatan makanan.

Langkah ini dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia–Brazil, bukan sahaja dalam aspek diplomasi tetapi juga ke arah pengukuhan rantaian bekalan global dan pembangunan mampan antara dua ekonomi sedang pesat membangun itu.

Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan hasrat menjalin kerjasama lebih erat dalam bidang latihan diplomatik dan penyelidikan, selain mengukuhkan hubungan kebudayaan antara kedua-dua negara.

“Saya ingin menegaskan bahawa hubungan Malaysia-Brazil bukan sekadar hubungan diplomatik biasa, tetapi hubungan dua sahabat yang berkongsi cita-cita dan keyakinan yang sama.

“Marilah kita pastikan kedua-dua negara serta rantau masing-masing, Amerika Selatan dan ASEAN bekerjasama erat dan menjadi tonggak utama memperkukuh hubungan yang melangkaui perdagangan, pelaburan, politik dan budaya.,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada Lula di atas komitmennya menangani isu kemanusiaan dan alam sekitar bukan sahaja di Brazil, malah di peringkat global.

Katanya, pendirian Presiden Brazil itu sentiasa konsisten memperjuangkan nasib rakyat miskin dan golongan tertindas serta pendekatannya dalam dasar luar membabitkan isu kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza

“Ini menunjukkan iltizam anda terhadap dasar yang mampu menyelamatkan dunia dan masyarakat antarabangsa.

“Malah, dalam siri pertemuan di Rio dan di sini, kami mengagumi ketabahan, tujuan dan keberanian anda dalam mempertahankan prinsip keadilan dan maruah manusia. Nilai ini juga dekat di hati rakyat Malaysia, khususnya dalam isu Gaza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN