BEIRUT: Pihak berkuasa Lubnan menahan 32 individu sejak beberapa bulan kebelakangan ini atas dakwaan menyalurkan maklumat kepada Israel mengenai Hezbollah, sekali gus memudahkan serangan kumpulan disokong Iran itu.
Menurut seorang pegawai kehakiman yang mahu namanya dirahsiakan, enam daripada suspek ditahan sebelum gencatan senjata diumumkan pada November tahun lalu, manakala baki 26 lagi ditangkap selepas itu.
Sehingga kini, sembilan suspek diadili di mahkamah tentera, manakala 23 lagi masih dalam siasatan.
Lubnan tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Israel, dan sebarang kerjasama dengan negara itu boleh dikenakan hukuman penjara.
Pertikaian antara Israel dan Hezbollah selama lebih setahun, termasuk dua bulan perang terbuka, menyaksikan rejim memusnahkan senjata kumpulan itu dan membunuh ramai komander kanan.
Serangan tetap diteruskan walaupun selepas gencatan senjata.
Dalam operasi pada September tahun lalu, ratusan alat kelui dan walkie-talkie Hezbollah meletup, melumpuhkan sistem komunikasi kumpulan itu serta menyebabkan 39 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera.
Seminggu kemudian, ketua Hezbollah, Hassan Nasrallah, maut dalam serangan udara di pinggir selatan Beirut.
Pegawai kehakiman berkata, dua daripada mereka yang disabitkan bersalah dijatuhi hukuman kerja berat selama lapan dan tujuh tahun atas kesalahan memberi musuh koordinat, alamat serta nama pegawai Hezbollah dengan niat maklumat tersebut digunakan untuk mengebom lokasi kumpulan terbabit.
Beberapa suspek mengaku menyalurkan maklumat kepada Israel semasa perang di selatan Lubnan dan pinggir selatan Beirut, kawasan yang dikuasai Hezbollah.- AFP









