Laporan polis elak audio terus tersebar, elak perpaduan tergugat - Rozabil - Utusan Malaysia

Laporan polis elak audio terus tersebar, elak perpaduan tergugat – Rozabil

ROZABIL ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Langkah Pemuda UMNO negeri membuat laporan polis berhubung penularan audio didakwa mirip Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli bertujuan menggelakkan rakaman itu terus tersebar dan mengugat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd Rahman berkata, laporan dibuat itu bukan sahaja membolehkan polis menjalankan siasatan, malah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga dapat mengambil tindakan untuk menghentikan penularan audio berkenaan.

Menurut beliau, sekiranya rakaman audio itu terus dibiarkan tersebar, ia dibimbangi dapat mengundang perkara tidak baik termasuk menganggu-gugat perpaduan dan kepercayaan kepada pihak tertentu.

“Pendirian UMNO jelas, kita sebenarnya dah dengar audio ini agak lama tapi kita ambil sikap bersangka baik yang audio ini tak asli dan dibuat oleh pihak tertentu.

“Tapi apabila audio ini tak berhenti disebarkan, adalah lebih baik sekiranya dilaporkan, dan saya rasa itulah sikap yang diambil oleh Pemuda UMNO negeri dengan membuat laporan polis itu.

“Jadi untuk kita bersangka baik pada semua orang termasuklah individu yang bercakap dalam audio tersebut, maka kita harap perkara ini dapat disiasat dengan teliti dan sempurna,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Semalam, Pemuda UMNO negeri membuat satu laporan polis berhubung penularan satu klip audio suara mirip suara Menteri Besar yang didakwa menyentuh perihal perbincangan peribadi antara beliau dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Setiausaha Pemuda UMNO negeri, Ahmad Nazrin Abdul Aziz berkata, penularan rakaman berkenaan menyentuh berkaitan urusan pelantikan ketua jabatan dan penjawat awam di negeri ini serta beberapa perbincangan lain yang sepatutnya sulit.

Mengulas lanjut, Rozabil berkata, impak penularan video itu boleh menimbulkan pelbagai kesan termasuklah perasaan gundah gulana dalam kalangan masyarakat khususnya di negeri ini.

“Yang paling kita takut sekali adalah jika perkara didakwa dalam audio itu yang mengaitkan Raja Perlis adalah tak betul dan pastinya akan bagi impak negatif buat rakyat,” katanya.

Tambahnya, beliau menyerahkan siasatan kes itu sepenuhnya kepada polis dan pihak berwajib bagi mendapatkan kesahihan berhubung ketulenan audio tersebut.

“Sebagai rakyat yang prihatin, sesiapa sahaja boleh membuat laporan polis, maka saya juga serahkan perkara ini untuk disiasat oleh pihak berkuasa dengan sebaiknya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN