BUKIT MERTAJAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya melupuskan pelbagai barang yang dirampas atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun ini dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM4.761 juta.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, rampasan itu adalah hasil tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan pihaknya yang merangkumi barangan kawalan, kawalan harga, antipencatutan, pelanggaran hak intelek, sewa beli, penipuan dalam talian dan lain-lain.
“Ekshibit yang dilupuskan termasuk pakaian, beg dan aksesori wanita pelbagai jenama, alat ganti kenderaan, produk makanan, produk penjagaan kesihatan, serta aksesori dan peranti elektronik tiruan.
“Kesemua 81,049 unit ini telah selesai menjalani proses pendakwaan dan pengkompaunan,” katanya ketika sidang akhbar sempena Program Pelupusan Ekshibit Mega di Kompleks Penyimpanan KPDN Pulau Pinang, Bukit Minyak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Jegan berkata, sejak 1 Januari lalu hingga kini, sebanyak 65,790 premis telah diperiksa dengan 793 kes diambil tindakan melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3.051 juta.
“Selain itu, 625 kes dikenakan kompaun berjumlah RM439,000, manakala dua kes dibawa ke mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM16,000,” katanya yang memberitahu, daripada keseluruhan tindakan pengkompaunan dan pendakwaan, 167 kes barangan sitaan telah dilupus, melibatkan hasil kutipan sementara sebanyak RM382,427.
Tambah beliau, hasil jualan sebut harga atau tender barang rampasan adalah sebanyak RM20,100, diikuti oleh hasil jualan barang kawalan (RM1.734 juta), manakala pemusnahan barangan kes pula dianggarkan bernilai RM2.62 juta.










