Konvensyen 152 garis enam ketetapan perkasa bahasa Melayu

Konvensyen 152 garis enam ketetapan perkasa bahasa Melayu

Bahasa Melayu
AHMAD Zahid Hamidi menerima dokumen enam ketetapan dalam Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan daripada Shahrin Sahib @ Sahibuddin pada majlis perasmian penutupannya, dekat Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM), di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan disaran menubuhkan Lembaga Bahasa Kebangsaan (LBK) dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai penasihat utama dalam hal ehwal bahasa Melayu.

Ia merangkumi dalam dasar kerajaan, pelaksanaan, pengawalseliaan serta pemantauan penggunaan bahasa tersebut di sektor awam dan swasta.

Saranan tersebut merupakan salah satu daripada enam ketetapan dicapai dalam Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan 2025 bagi memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua ketetapan tersebut akan dibawa ke Majlis Pendidikan Negara yang sudah diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Penelitian itu akan dilakukan oleh Majlis Pendidikan Negara dan kerajaan berpandangan kesemua resolusi (ketetapan) itu adalah sangat relevan dengan situasi kontemporari yang diperlukan pelaksanaannya,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian penutup Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan 2025, hari ini.

Terdahulu, selain penubuhan LBK, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin menyatakan kerajaan perlu menetapkan 80 peratus penggunaan kandungan formatif bahasa Melayu yang tepat dan betul.

Selain itu, Kementerian Pendidikan Tinggi perlu mempertimbang bagi mewajibkan penawaran kursus bahasa Melayu dengan syarat wajib lulus untuk bergraduat di semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

“Mengangkat tulisan jawi dalam urusan rasmi di semua agensi Kerajaan Persekutuan, badan-badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

“Melantik atase bahasa Melayu bagi setiap kedutaan di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri serta memberi pengiktirafan rasmi kepada pakar bahasa dan linguistik Melayu yang membawa gelaran ikhtisas Linguist (Lg),” katanya.

Beliau berkata, kesemua ketetapan tersebut diperolehi menerusi perbincangan Sidang Meja Bulat 152 berlangsung pada 24 hingga 26 September lalu yang terdiri daripada tokoh-tokoh bahasa dan akademik seperti Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, Prof. Madya Dr. R. Ramalinggam serta Dr. Ainol Amriz Ismail.

Malah, Shahrin memaklumkan UiTM bersedia menjalankan fungsi sekretariat berdasarkan kemampuan universiti itu yang memiliki kepakaran dalam bidang bahasa, pendidikan dan penyelidikan ilmiah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN