KOTA BHARU: Polis Kelantan membuka kertas siasatan berhubung tindakan sebuah bot mengibarkan bendera Israel semasa program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza pada Jumaat lalu di Sungai Kelantan walaupun sekadar gimik lakonan semula kekejaman rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sebarang lambang kebangsaan tanpa kelulusan seperti bendera Israel menjadi kesalahan.
“Kita akan siasat kes ini mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tindakan sebuah bot mengibarkan bendera Israel semasa program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza pada Jumaat lalu di Sungai Kelantan hanyalah gimik lakonan semula kekejaman rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan GSF.
Terdahulu video tersebut tular di aplikasi Tiktok dan media sosial sehingga menimbulkan rasa kurang senang dan perdebatan hangat dalam kalangan penduduk di negera ini.
Pengarah Program, Mohd. Khairul Hafiz Hassan berkata, ia bertujuan memperlihatkan tindakan ganas yang telah dilakukan oleh tentera Zionis semasa menyerang sukarelawan GSF baru-baru ini serta kekejaman ke atas penduduk Palestin.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya menasihatkan mana-mana pertubuhan yang mahu membuat persembahan berkaitkan kekejaman tentera Zionis supaya tidak mengibarkan bendera Israel dalam apa jua bentuk protes meskipun dengan niat mengecam kekejaman rejim berkenaan.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia bagi menggelakan salah anggap sekali gus mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat kerana isu tersebut sangat sensitif.
“Pandangan saya cukuplah sekadar tulis dengan perkataan sahaja. Sebagai contoh ‘Kapal Israel, tidak perlu kibarkan bendera.
“Bagi saya itu sudah cukup,” tegasnya.-UTUSAN