Keganasan Israel beralih ke Tebing Barat

Keganasan Israel beralih ke Tebing Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEBING BARAT: Pasukan Israel membunuh seorang lelaki Palestin dan mencederakan kanak-kanak semasa serbuan ketenteraan di beberapa kawasan kejiranan Jenin, di utara Tebing Barat.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, Mohammad Salameh, 25, ditembak mati oleh tentera Israel di Jenin.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin turut memaklumkan mangsa ditembak di bahagian perut dan leher oleh pasukan Israel.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kemas kini terbaharu, Bulan Sabit Merah melaporkan seorang remaja Palestin berusia 15 tahun cedera akibat serpihan peluru yang dilepaskan tentera berhampiran lokasi sama.

Sumber berkata, pasukan Israel menyerbu beberapa kawasan kejiranan di tengah Jenin dan melepaskan tembakan ke arah penduduk Palestin.

Dalam masa sama, sekurang-kurangnya 36 termasuk wartawan cedera dalam serangan tentera Israel dan peneroka haram Tebing Barat semalam, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Dalam kenyataan kementerian itu, seramai 36 orang dirawat, termasuk dua yang cedera akibat tembakan peluru hidup, selepas diserang peneroka haram dan askar Israel di bandar Beita, Huwara dan Deir Sharaf di Nablus.

Menurut agensi berita, Wafa, peneroka haram menyerang petani Palestin ketika mereka sedang menuai zaitun di kawasan Jabal Qamas di Beita, memukul mereka serta membakar tiga kenderaan termasuk sebuah yang dimiliki jurugambar AFP.

Tentera Israel kemudiannya menyerbu kawasan berkenaan dan melepaskan bom tangan serta gas pemedih mata ke arah orang awam, menyebabkan beberapa kes sesak nafas akibat terhidu gas tersebut, lapor Wafa.

Sumber tempatan memberitahu agensi Anadolu, tiga wartawan turut cedera semasa serbuan tentera Israel itu.

Serangan serupa oleh peneroka haram turut dilaporkan di kampung Aqraba, Al-Lubban al-Sharqiya, dan Ammuriya di selatan Nablus.

Menurut angka rasmi, lebih 1,051 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat, sekitar 10,300 cedera dan lebih 20,000 ditahan termasuk kanak-kanak sejak serangan terhadap Gaza.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Gaza mengorbankan hampir 67,200 rakyat Palestin di wilayah itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menjadikannya tidak lagi sesuai untuk didiami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×