Kabinet terima 11 dasar Tribunal Anti-Buli

Kabinet terima 11 dasar Tribunal Anti-Buli

AZALINA Othman Said pada Majlis Peluncuran Garis Panduan Khas Pengendalian Kes-Kes Keselahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2025 di Putrajaya, semalam. Turut hadir, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim (tiga,kanan). – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 11 dasar utama Rang Undang-Undang Tribunal Anti-Buli diterima sepenuhnya oleh barisan Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet dan dijangka dibentangkan di Parlimen 1 Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU itu sedang disiapkan untuk dibawa ke mesyuarat Kabinet bagi pertimbangan dan kelulusan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Mungkin dalam pertengahan November selepas Kabinet lihat dan meluluskan rang undang-undang tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Garis Panduan Khas Pengendalian Kes-Kes Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2025 di sini, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan sedang meneliti mekanisme penubuhan Tribunal Anti-Buli sebagai platform khas untuk menangani kes buli secara lebih cepat dan efisien tanpa membebankan mangsa melalui proses perundangan yang panjang.

Sementara itu katanya, Garis Panduan Khas Pengendalian Kes-Kes Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2025 bakal menjadi panduan utama dalam melindungi hak kanak-kanak ketika berdepan proses undang-undang.

Azalina berkata, garis panduan tersebut bukan sekadar dokumen baharu, sebaliknya mencerminkan usaha menyeluruh pentadbiran dan perundangan negara.

“Majlis ini bukan sekadar memperkenalkan dokumen baharu, tetapi menzahirkan komitmen bersama seluruh institusi perundangan dan pentadbiran negara untuk memperkukuh sistem keadilan yang lebih adil, inklusif dan berperikemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, garis panduan yang dikemas kini itu memberi penekanan kepada pendekatan keadilan peka trauma (trauma-informed justice) dengan memperincikan proses pelaporan, siasatan dan tatacara prosiding mahkamah yang mengambil kira kesejahteraan emosi mangsa.

Katanya lagi, dokumen itu akan diterbitkan dalam bentuk digital dan dwibahasa, bagi memastikan ia mudah diakses oleh semua pihak berkepentingan termasuk polis, pendakwa raya, pegawai kebajikan, hakim serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam kes melibatkan kanak-kanak.

Tambahnya, walaupun garis panduan itu belum bersifat mengikat secara undang-undang, ia tetap menjadi asas penting bagi menyelaras amalan terbaik dalam pengendalian kes melibatkan kanak-kanak.

“Garis panduan ini menjadi asas penting penyelarasan best practices seluruh agensi, dan membuka ruang untuk pewartaan sebagai prosedur mandatori pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN