TEL AVIV: Kabinet Israel hari ini meluluskan pelan Presiden Donald Trump untuk gencatan senjata di Gaza dan pembebasan semua tebusan yang masih ditahan oleh Hamas.
Keputusan tersebut didakwa langkah penting ke arah menamatkan perang dua tahun yang merosakkan dan mengganggu kestabilan Asia Barat.
Dalam kenyataan ringkas pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, Kabinet meluluskan ‘garis panduan’ bagi perjanjian pembebasan tebusan, tanpa menyebut aspek lain pelan itu yang kontroversial.
Pelan gencatan senjata meluas masih menyimpan banyak persoalan belum terjawab, termasuk status Hamas untuk melucutkan senjata serta pihak yang akan mentadbir Gaza.
Namun, kedua-dua pihak dilihat lebih hampir untuk menamatkan perang yang meragut puluhan ribu nyawa rakyat Palestin berbanding beberapa bulan lalu.
Beberapa jam sebelum undian Kabinet Israel, serangan rejim masih berterusan ke atas Gaza.
Letupan dilaporkan berlaku pada Khamis di utara Gaza, manakala serangan ke atas sebuah bangunan di Gaza City mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang dan lebih 40 lagi terperangkap di bawah runtuhan, menurut Pertahanan Awam Palestin.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin maut manakala 49 lagi cedera tiba di hospital dalam tempoh 24 jam lalu.
Seorang pegawai tentera Israel yang enggan didedahkan identiti mendakwa, rejim menyasarkan lokasi yang dianggap ancaman kepada pasukannya semasa penempatan semula.
Hamas mengecam Israel kerana serangan itu, mendakwa Netanyahu cuba mengelirukan usaha pengantara untuk menamatkan perang di Gaza.
Pegawai kanan Hamas dan ketua perunding dalam ucapan pada Khamis, menyenaraikan elemen utama perjanjian gencatan senjata, iaitu pembebasan kira-kira 2,000 tahanan Palestin, membuka laluan sempadan dengan Mesir, membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza.











