KUALA LUMPUR: Isu penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) hingga menimbulkan kebimbangan terhadap penyebaran berita palsu dan manipulasi maklumat dijangka menjadi antara tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman, akan meminta penjelasan daripada Menteri Komunikasi berhubung langkah kerajaan membendung penyalahgunaan teknologi AI seperti deepfake dan chatGPT yang boleh menjejaskan keselamatan awam serta keharmonian kaum.
Dalam pada itu, isu keciciran murid di sekolah rendah dan menengah turut dijangka dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, yang meminta Menteri Pendidikan memperincikan statistik terkini pelajar tercicir serta langkah intervensi yang diambil kerajaan bagi memastikan pelajar luar bandar tidak ketinggalan akibat ketiadaan pengangkutan dan jarak sekolah yang jauh.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, dijangka menyoal Menteri Ekonomi mengenai penilaian semasa Dasar Gaji Progresif, termasuk kesannya terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta rancangan pemberian insentif fiskal tambahan bagi menggalakkan penyertaan sektor swasta.
Selepas sesi soal jawab lisan, persidangan diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) yang akan dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari sehingga 28 Oktober ini.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 4 Disember ini. – UTUSAN










