GAZA CITY: Sekurang-kurangnya 70 rakyat Palestin terbunuh dalam siri serangan udara Israel di seluruh Gaza, walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menggesa rejim Zionis menghentikan pengeboman berikutan kesediaan Hamas menerima sebahagian elemen pelan damai 20 perkara yang dicadangkannya.
Menurut sumber perubatan, daripada jumlah itu 45 mangsa maut di Gaza City, kawasan yang kini dilanda kebuluran dan menjadi tumpuan utama serangan darat Israel dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Serangan itu memaksa lebih sejuta penduduk berpindah ke bahagian selatan yang sudah pun sesak.
Dalam satu serangan di kawasan perumahan Tuffah, 18 orang terbunuh dan beberapa yang lain cedera selepas rumah penduduk dibedil tentera Israel, menurut petugas perubatan. Serangan tersebut turut merosakkan beberapa bangunan berhampiran.
Menurut kenyataan agensi pertahanan awam Gaza di Telegram, tujuh kanak-kanak berusia antara dua bulan hingga lapan tahun turut terkorban dalam serangan itu.
Tentera Israel turut mengebom kem pelarian al-Mawasi di selatan Gaza, kawasan yang diisytiharkan sebagai zon kemanusiaan selamat.
Namun, kawasan itu telah berulang kali diserang dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Serangan terbaharu meragut dua nyawa kanak-kanak dan mencederakan sekurang-kurangnya lapan yang lain.
Wartawan Al Jazeera, Hind Khoudary melaporkan terdapat serangan udara di kawasan lain termasuk di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.
“Hospital tidak lagi mampu merawat semua mangsa Palestin,” katanya, merujuk kepada beberapa hospital di utara Gaza yang masih beroperasi meskipun berdepan krisis bahan api yang parah.
“Apa yang berlaku di lapangan langsung tidak menunjukkan wujudnya sebarang tanda gencatan senjata,” tambahnya.
Sementara itu, Trump pada Sabtu menggesa Hamas supaya segera membebaskan tebusan dan memuktamadkan rundingan pelan damai tersebut, sambil memberi amaran bahawa semua pertaruhan akan terbatal jika terdapat kelewatan.
“Saya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kelewatan atau hasil yang menjadikan Gaza kembali menjadi ancaman. Mari kita selesaikan ini segera. Semua pihak akan dilayan dengan adil!” tulisnya di platform Truth Social.
Dalam kenyataan berasingan, Trump memaklumkan bahawa Israel bersetuju dengan garis pengunduran awal dan maklumat itu turut dikongsi dengan Hamas.
“Apabila Hamas mengesahkan, gencatan senjata akan berkuat kuasa serta-merta. Proses pertukaran tebusan dan tahanan akan bermula, dan kita akan mencipta keadaan bagi fasa pengunduran seterusnya,” katanya.
Menurut sumber, Hamas bersetuju dengan beberapa perkara utama dalam pelan Trump termasuk pengunduran tentera Israel dari Gaza dan pembebasan tahanan Israel serta Palestin. Namun, kumpulan itu masih belum memberi jawapan mengenai isu pelucutan senjata.
Trump dijangka menghantar dua utusannya, Steve Witkoff dan Jared Kushner ke Mesir bagi membincangkan butiran teknikal pembebasan tebusan serta rundingan damai jangka panjang.
Kementerian Luar Mesir mengesahkan bahawa negara itu akan menjadi tuan rumah kepada delegasi Israel dan Hamas pada Isnin untuk meneruskan rundingan.
Fasa pertama pelan damai Trump melibatkan pertukaran semua tebusan sama ada hidup atau mati dengan hampir 2,000 tahanan Palestin sebagai langkah awal ke arah menghentikan perang yang telah meragut puluhan ribu nyawa.- AL JAZEERA










