Israel rampas 70,000 meter persegi tanah Palestin di Tebing Barat

Israel rampas 70,000 meter persegi tanah Palestin di Tebing Barat

SEORANG penunjuk perasaan Palestin (kanan) berdebat dengan tentera rejim di tapak pembinaan jalan baharu untuk peneroka Israel berhampiran kampung Beit Ur al-Fauqa di Tebing Barat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Israel dilaporkan merampas lebih 70,000 meter persegi tanah di wilayah Nablus, di utara Tebing Barat yang diduduki, menurut laporan terbaharu.

Suruhanjaya Penentangan Penjajahan dan Tembok Pemisah pada Ahad memaklumkan tentera Israel merampas lebih 70,000 meter persegi tanah di beberapa kampung di daerah Nablus melalui perintah rampasan tentera dan keselamatan.

Tindakan itu dipercayai bertujuan untuk mewujudkan zon penampan di sekitar penempatan haram Eli di kawasan berkenaan, jelas suruhanjaya itu.

Laporan tersebut turut mendedahkan bahawa pihak berkuasa Israel mengeluarkan perintah rampasan selepas tamatnya tempoh bantahan yang hanya berlangsung selama seminggu.

Sejak awal tahun 2025, Israel dilaporkan telah mengeluarkan sebanyak 53 perintah rampasan tentera bagi memperluas kawalan ke atas Tebing Barat yang diduduki.

Menurut Suruhanjaya Penentangan Penjajahan dan Tembok Pemisah Palestin, Israel telah membina sekurang-kurangnya 710 penempatan dan pos tentera haram di Tebing Barat sejak tahun 1967 bersamaan dengan satu penempatan bagi setiap lapan kilometer persegi.

Masyarakat dunia, termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), menganggap penempatan haram Israel itu sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.

PBB turut berulang kali memberi amaran peluasan penempatan secara berterusan akan mengancam kelangsungan penyelesaian dua negara, satu rangka kerja penting dalam usaha menamatkan konflik berpanjangan Palestin-Israel.

Dalam satu pendapat penasihat yang dikeluarkan pada Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyatakan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin adalah menyalahi undang-undang dan menyeru supaya semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur dikosongkan.

Sementara itu, tentera Israel dilaporkan meneruskan siri serbuan ketenteraan di seluruh Tebing Barat sepanjang hujung minggu.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) dalam satu kenyataan berkata, pasukannya telah menghantar seorang lelaki berusia 37 tahun ke hospital selepas mangsa ditembak di bahagian paha dalam kejadian di Ramallah.

Pihak berkuasa tempatan turut memaklumkan bahawa sejak perang Gaza bermula dua tahun lalu, lebih 1,051 rakyat Palestin terbunuh, sekitar 10,300 cedera, dan lebih 20,000 ditahan, termasuk 1,600 kanak-kanak, di Tebing Barat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN