BAITULMUQADDIS: Tentera Israel memulakan persiapan untuk penempatan semula askarnya di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza dengan Hamas hari ini.
“Berdasarkan arahan kepimpinan politik dan hasil penilaian semasa, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memulakan operasi bagi melaksanakan perjanjian tersebut,” menurut kenyataan tentera di platform X.
Katanya, persiapan dan pelan taktikal kini sedang dijalankan untuk menempatkan semula pasukan tentera di garis operasi baharu dalam masa terdekat.
Perjanjian gencatan senjata yang dicapai di Sharm El-Sheikh, Mesir, awal Khamis itu berpaksikan pelan 20 perkara yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Pelan tersebut termasuk pembebasan tebusan Israel sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin, gencatan senjata menyeluruh, pelucutan senjata Hamas, serta pelaksanaan pelan pembinaan semula Gaza.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah menyebabkan hampir 67,200 penduduk Palestin terbunuh, majoritinya wanita dan kanak-kanak, selain memusnahkan sebahagian besar infrastruktur dan menjadikan Gaza hampir tidak lagi sesuai didiami.- ANADOLU










