Israel cabul gencatan senjata, bunuh 11 sekeluarga di Gaza

Israel cabul gencatan senjata, bunuh 11 sekeluarga di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Israel membunuh 11 sekeluarga di Gaza, menjadikannya pelanggaran gencatan senjata paling maut sejak ia mula berkuat kuasa lapan hari lalu.

Serangan itu berlaku pada petang Jumaat apabila peluru berpandu dari kereta kebal dilancarkan oleh pasukan Israel ke atas sebuah kenderaan awam yang membawa keluarga Abu Shaaban di kawasan Zeitoun, Gaza City, menurut pertahanan awam Gaza.

Jurucakap pertahanan awam, Mahmoud Basal dalam kenyataan berkata, tujuh kanak-kanak dan tiga wanita termasuk antara mereka yang terbunuh apabila tentera Israel melepaskan tembakan terhadap kenderaan itu ketika keluarga berkenaan cuba pulang ke rumah mereka.

“Mereka sepatutnya boleh diberikan amaran atau ditangani dengan cara berbeza,” kata Basal.

Beliau menegaskan insiden itu membuktikan rejim Israel masih ‘dahagakan’ darah rakyat Palestin, dan berterusan melakukan jenayah terhadap orang awam yang tidak bersalah.

Hamas mengecam insiden yang digelar ‘pembunuhan beramai-ramai’ itu dan berkata keluarga tersebut menjadi sasaran tanpa alasan.

Kumpulan itu menyeru Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan pihak pengantara untuk memberi tekanan terhadap Israel agar menghormati perjanjian gencatan senjata.

Dalam serangan itu, tentera Israel melepaskan tembakan ke atas individu yang melintasi kawasan yang digelar ‘garisan kuning’, iaitu sempadan yang sepatutnya dipatuhi oleh tentera Israel untuk berundur mengikut terma gencatan senjata.

Wartawan Al Jazeera yang membuat liputan dari Gaza, Hind Khoudary, berkata ramai rakyat Palestin tidak mempunyai akses internet dan tidak menyedari lokasi sebenar kedudukan tentera Israel di sepanjang garisan sempadan, sekali gus meletakkan keluarga berisiko.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata garisan kuning di Gaza akan ditanda tidak lama lagi bagi memberi kejelasan.

Sepanjang tempoh gencatan senjata, Israel membunuh sekurang-kurangnya 28 rakyat Palestin dan mengehadkan aliran bantuan penting, termasuk makanan dan bekalan perubatan.- AL JAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN