ICC tolak rayuan Israel batal waran tangkap Netanyahu, Gallant

ICC tolak rayuan Israel batal waran tangkap Netanyahu, Gallant

ICC menolak permohonan membatalkan waran tangkap terhadap Benjamin Netanyahu (kanan) dan Yoav Gallant (kiri). – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) semalam menolak rayuan Israel berhubung waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, berkaitan dakwaan jenayah perang di Gaza.

Dalam keputusan yang mencuri perhatian dunia itu, ICC pada November lalu mendapati terdapat alasan munasabah untuk mempercayai Netanyahu dan Gallant memikul tanggungjawab atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Selain kedua-dua pemimpin Israel itu, ICC turut mengeluarkan waran tangkap terhadap tiga pemimpin tertinggi pejuang Hamas, namun waran tersebut dibatalkan selepas kesemua mereka dilaporkan meninggal dunia.

Waran tangkap ke atas Netanyahu dan Gallant mencetuskan kemarahan di Israel serta Amerika Syarikat (AS), yang kemudian mengenakan sekatan terhadap beberapa pegawai kanan ICC sebagai tindak balas.

Netanyahu mengecam keputusan berkenaan sebagai satu tindakan anti-Yahudi, manakala bekas Presiden AS, Joe Biden, menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Israel sebelum ini memohon untuk membatalkan waran tangkap sementara menunggu keputusan cabaran berasingan mengenai bidang kuasa ICC terhadap kes berkenaan namun, mahkamah pada 16 Julai menolak permohonan tersebut dengan sebab tiada asas undang-undang untuk menggugurkan waran tangkap sementara cabaran bidang kuasa masih dipertimbangkan.

Seminggu kemudian, Israel memohon kebenaran untuk merayu keputusan tersebut, namun pada Jumaat, panel hakim ICC memutuskan isu yang dibangkitkan Israel bukan perkara yang boleh dirayu.

“Oleh itu, mahkamah menolak permohonan tersebut,” kata ICC dalam keputusan bertulis setebal 13 muka surat.

Bagaimanapun, para hakim ICC masih meneliti cabaran lebih luas Israel terhadap bidang kuasa mahkamah itu.

Ketika ICC mengeluarkan waran tangkap berkenaan pada November lalu, mahkamah turut menolak rayuan awal negara tersebut yang mempertikaikan bidang kuasa ICC namun, pada April lalu, Mahkamah Rayuan ICC memutuskan Mahkamah Pra-Perbicaraan tersilap menolak cabaran Israel dan mengarahkan supaya hujah tersebut diteliti semula dengan lebih terperinci.

Setakat ini, belum jelas bila keputusan akhir mengenai isu bidang kuasa itu akan diumumkan. — AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN