BATU PAHAT: “Dia ‘pergi’ bertemu bidadari syurganya di sana.”
Itu luahan pilu keluarga Muhammad Husni Mahmud, 47, yang ditemukan mati lemas selepas kereta Proton Saga dipandunya terjunam ke dalam Sungai Panchor, Pekan Pagoh, Muar, petang kelmarin.
Menurut adiknya, Saryussaqapi, 42, pagi sebelum kejadian menjadi detik terakhir mereka bersarapan bersama di rumah keluarga di Taman Bendahara, Kampung Sungai Kajang.
“Beberapa hari sebelum itu dia sering mengadu sakit kepala. Lepas saya urut, dia kata rasa ringan sedikit dan beritahu nak ke klinik. Tak sangka pula dia pergi sejauh Panchor, katanya nak jumpa kawan,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Taman Bendahara, Kampung Sungai Kajang di sini, semalam.
Saryussaqapi berkata, arwah terlalu merindui isterinya, Haniza Rahmat, yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada 23 September 2021.
“Sejak isteri dia meninggal, dia selalu termenung. Kami tahu dia rindukan arwah. Mungkin dia dah pergi jumpa isterinya di sana. Kami reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Saryussaqapi turut menceritakan detik dia mengetahui berita kemalangan itu selepas menonton siaran langsung di TikTok.
“Mula-mula saya tak pasti kereta siapa, tapi bila lihat dengan jelas, hati saya terus luluh. Tengah malam barulah dapat pengesahan bahawa mangsa ialah abang saya,” katanya.
Sementara itu, bapa arwah, Mahmud Talib, 78, berkata, anaknya tinggal bersamanya sejak kematian isterinya tiga tahun lalu.
“Husni anak yang baik, periang dan suka membantu. Tak sangka kehilangan dia secepat ini,” katanya.
Jenazah Muhammad Husni dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Kajang selepas bedah siasat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintenden Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata, mangsa merupakan pegawai sumber manusia di sebuah kilang kayu di Batu Pahat, duda dan tidak mempunyai anak.
Katanya, seorang saksi warga emas mendakwa melihat kereta mangsa berhenti seketika di tepi sungai sebelum tiba-tiba bergerak dan terjunam ke dalam air.-UTUSAN.