KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi melatih guru memberi sokongan psikologi segera kepada murid yang menunjukkan tanda awal masalah mental bermula tahun hadapan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, latihan itu akan dilaksanakan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan keberkesanannya akan dipantau bagi memastikan guru bersedia membimbing murid.
“KPM akan menjalankan saringan minda sihat untuk murid Tahun 5 dan 6 serta sekolah menengah bagi mengesan tanda-tanda awal kemurungan dan kebimbangan.
“Data daripada saringan ini akan membantu kita merancang intervensi yang lebih tepat,” katanya.
Beliau menjawab soalan dari Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai langkah KPM memastikan guru warden dan guru disiplin di sekolah berasrama dilatih psikologi dan kaunseling supaya dapat mengenal pasti murid berpotensi menjadi pembuli atau mangsa buli.
Menurut Kah Woh, KPM turut memperkukuh program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) yang memberi guru ilmu asas psikologi dan kaunseling.
“Sehingga 2024, seramai 500 pengetua dan guru besar telah ditauliahkan sebagai AKRAB, manakala pada 2025, 312 pegawai KPM dan JPN dijangka mengikuti latihan ini.
“Sistem Keluarga Asrama (SisKA) turut diperkenalkan, menggunakan pendekatan homeroom, mentor-mentee dan sistem rumah, di mana guru berperanan seperti ibu bapa.
“Guru akan memberi perhatian kepada emosi, rohani, sahsiah dan akademik murid.
“Inisiatif ini diperkukuh melalui Kem Kepimpinan Generasi MADANI Pemimpin Murid Asrama yang melatih murid menjadi rakan sokongan, menjaga keharmonian, dan bertindak sebagai saluran aduan awal di kalangan murid,” katanya. – UTUSAN










