LIMA: Gelombang kebangkitan yang diterajui golongan muda kini menyaksikan ribuan Generasi Z meninggalkan skrin dan turun ke jalanan bagi menuntut perubahan, dan dalam beberapa kes sehingga menggulingkan kerajaan.
Dari Kathmandu hingga Lima, semangat sama dapat dilihat apabila Gen Z bangkit menentang ketidaksamaan sosial, salah laku dan peluang ekonomi yang semakin pudar di negara mereka.
Kebanyakan mereka datang daripada latar belakang berbeza, namun tuntutannya berpaksikan satu mesej jelas mengenai masa depan yang semakin terancam jika sistem sedia ada tidak diubah.
Di Maghribi, gerakan ‘GenZ 212’ mencetuskan gelombang protes di seluruh negara selepas isu kesihatan, pendidikan dan keadilan sosial diketepikan demi persediaan Piala Dunia 2030.
Di Madagascar, kekurangan air dan gangguan elektrik mendorong ribuan anak muda turun ke jalanan, manakala di Peru, bantahan terhadap undang-undang pencen bertukar menjadi seruan untuk menamatkan rasuah serta penindasan di bawah pemerintahan Presiden Dina Boluarte.
Gelombang ini menyusul selepas kejayaan luar biasa Gen Z di Nepal yang menggulingkan kerajaan pada September lalu, apabila protes larangan media sosial bertukar menjadi pemberontakan besar-besaran terhadap rasuah serta kemelesetan ekonomi.
Fenomena sama turut berlaku di Asia Selatan pada 2024, apabila rakyat Bangladesh menggulingkan Perdana Menteri Sheikh Hasina selepas 15 tahun berkuasa.
Manakala di Sri Lanka, gerakan anak muda menamatkan pemerintahan dinasti Rajapaksa pada 2022.
Protes yang diterajui golongan muda turut tercetus di Indonesia, Filipina dan Kenya tahun ini.
Pengarah Institut Asia Selatan, Subir Sinha berkata, kebangkitan itu menunjukkan jurang yang semakin melebar antara keutamaan elit pemerintah dengan realiti kehidupan generasi muda.
“Terdapat perasaan seakan bencana, seolah-olah hari terakhir demokrasi liberal sedang dirasai dari satu negara ke satu negara,” katanya.- CNN










