Festival Mega I Lindung U pupuk kesedaran keselamatan sosial

Festival Mega I Lindung U pupuk kesedaran keselamatan sosial

Festival I Lindung U
MOHAMMED Azman Aziz Mohammed menaikkan belon gergasi Perkeso sebagai simbolik pelancaran Festival Mega I Lindung U anjuran Perkeso dekat pekarangan Stadium Shah Alam, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Festival Mega I Lindung U anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membuka ruang kepada orang ramai untuk memahami dengan lebih dekat manfaat perlindungan keselamatan sosial, selain menawarkan pelbagai aktiviti interaktif dan kemudahan istimewa sepanjang tiga hari penganjurannya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, festival diadakan di pekarangan Stadium Shah Alam itu bagi memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap inisiatif baharu Perkeso menerusi penjenamaan semula empat skim utamanya di bawah konsep ‘Lindung’ iaitu Lindung Pekerja, Lindung Kerjaya, Lindung Kendiri dan Lindung Kasih.

“Konsep Lindung diwujudkan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat diliputi perlindungan keselamatan sosial. Lindung Pekerja memberi tumpuan kepada pekerja sektor formal.

“Lindung Kerjaya untuk mereka yang kehilangan pekerjaan, Lindung Kendiri melibatkan pekerja sendiri dan gig, manakala Lindung Kasih pula khusus bagi suri rumah atau individu yang melaksanakan tanggungjawab ekonomi keluarga,” katanya ketika ditemui pada perasmian festival tersebut, hari ini.

Beliau berkata, penganjuran festival itu bukan sekadar platform promosi, tetapi juga bertujuan memberi kemudahan terus kepada pencarum dan majikan melalui pelbagai perkhidmatan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, khidmat nasihat caruman, serta bayaran denda lewat bayar dengan diskaun istimewa sehingga 80 peratus bagi majikan.

“Majikan yang dikenakan tindakan kompaun atau bayaran faedah lewat boleh hadir untuk menyelesaikan urusan mereka dengan kadar diskaun ini. Langkah ini bertujuan memudahkan urusan dan tidak membebankan mana-mana pihak,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Perkeso kini memperkenalkan transformasi digital bagi memudahkan pencarum membuat tuntutan tanpa perlu hadir ke pejabat.

“Tuntutan kemalangan dan skim pencen ilat kini boleh dibuat secara dalam talian, termasuk menggunakan telefon bimbit. Ini merupakan sebahagian daripada usaha mempercepat proses dan memberi kemudahan kepada pencarum,” jelasnya.

Mohammed Azman berkata, festival yang diadakan di Lembah Klang itu menyasarkan kehadiran lebih 70,000 pengunjung, sebelum diperluas ke negeri-negeri lain termasuk Pulau Pinang pada akhir tahun ini.

“Perkeso mahu membawa mesej bahawa keselamatan sosial bukan hanya untuk pekerja, tetapi juga untuk semua lapisan masyarakat. Kami mahu rakyat faham bahawa Lindung bermakna perlindungan untuk semua,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN