TAIPEI: Sebuah syarikat penerbangan Taiwan dikecam selepas didakwa meminta dokumen daripada seorang pramugari yang telah meninggal dunia, mencetuskan kemarahan meluas di media sosial.
Pramugari Eva Air berusia 34 tahun, dikenali dengan nama keluarga Sun, meninggal dunia awal bulan ini selepas dilaporkan tidak sihat semasa dalam penerbangan.
Beberapa hari selepas kematiannya, syarikat penerbangan itu menghantar mesej teks meminta bukti permohonan cuti semasa dia berada di hospital.
Insiden itu menimbulkan kemarahan ramai, susulan kebimbangan Sun mungkin dipaksa bekerja secara berlebihan.
Pihak berkuasa Taiwan dan Eva Air kini sedang menyiasat sama ada pramugari itu dinafikan bantuan perubatan atau didesak untuk tidak mengambil cuti sakit.
Dalam satu kenyataan kepada BBC, Eva Air mendakwa pihaknya berhubung dengan keluarga Sun ketika dia berada di hospital dan amat sedih atas kematian kakitangannya itu.
“Kesihatan dan keselamatan pekerja serta penumpang kami adalah keutamaan tertinggi,” kata syarikat tersebut.
Sun dilaporkan mula tidak sihat pada 24 September lalu semasa penerbangan dari Milan ke pangkalan Eva Air di Taoyuan City, Taiwan.
Dia dimasukkan ke hospital sebaik tiba dan meninggal dunia pada 8 Oktober.
Menurut keluarga Sun, beberapa hari selepas kematiannya, mereka menerima mesej teks daripada wakil Eva Air yang meminta dokumen bagi membuktikan Sun permohonan cuti pada akhir September, namun dibalas dengan salinan sijil kematian wanita terbabit.
Pegawai kanan Eva Air berkata, mesej teks tersebut adalah kesilapan seorang pekerja dalaman dan pihak syarikat memohon maaf secara peribadi kepada keluarga Sun atas insiden itu.