TANGKAK: Empat maut dalam nahas melibatkan empat buah kenderaan termasuk tiga buah motosikal di Kilometer 32.5, Jalan Muar-Segamat malam semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Talib, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 10.55 malam.
“Akibat daripada kemalangan tersebut tiga orang telah meninggal dunia di tempat kejadian iaitu dua lelaki berumur 20 tahun yang masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dan seorang lagi menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
“Seorang lagi penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC iaitu seorang remaja lelaki berumur 19 tahun meninggal dunia di Hospital Tangkak semasa mendapatkan rawatan.
“Sementara itu, pemandu kereta jenis perodua Myvi berwarna merah bersama seorang penumpang tidak mengalami kecederaan. Punca kejadian masih dalam siasatan”katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN









