KEREM SHALOM: Sekumpulan ekstremis Israel semalam bertindak menghalang lori yang membawa bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza di lintasan Kerem Shalom.
Menurut agensi berita Anadolu, kumpulan berkenaan yang dinamakan sebagai Tsav 9, dilaporkan berulang kali mengganggu penghantaran bantuan ke Gaza sejak bermulanya pencerobohan Israel sebelum gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu.
Dalam satu kenyataan di platform media sosial X, kumpulan itu memaklumkan sedang menyekat laluan lori bantuan di beberapa lokasi menuju ke lintasan berkenaan yang dikawal sepenuhnya oleh rejim Israel.
Kumpulan berkenaan mendakwa Hamas melanggar perjanjian gencatan senjata dan enggan memulangkan tebusan warga Israel, justeru bantuan yang didakwa boleh membantu mereka perlu dihentikan.
“Tiada lori bantuan akan dibenarkan melalui lintasan sehingga mayat terakhir dipulangkan,” kata kumpulan itu.
Satu rakaman video yang dimuat naik oleh kumpulan Tsav 9 menunjukkan beberapa individu pelampau sengaja menghalang lori bantuan daripada melepasi sekatan.
Kumpulan Tsav 9 yang ditubuhkan ketika serangan besar-besaran Israel ke atas Gaza dilaporkan kerap menyekat jalan menuju ke lintasan sempadan, menganjurkan tunjuk perasaan, malah dalam beberapa kes didakwa menjarah dan merosakkan muatan bantuan, lapor Times of Israel.
Sebelum ini, Hamas telah membebaskan 20 tebusan warga Israel yang masih hidup dan menyerahkan 10 lagi mayat sebagai pertukaran kepada hampir 2,000 tahanan Palestin di bawah perjanjian gencatan senjata yang dimeterai minggu lalu.
Perjanjian itu dicapai hasil pelan yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang antara lain memperuntukkan fasa pertama pembebasan tebusan Israel dengan pertukaran tahanan Palestin, serta rancangan pembinaan semula Gaza dan penubuhan mekanisme pentadbiran baharu tanpa penglibatan Hamas.
Sejak Oktober 2023, serangan berterusan Israel telah meragut hampir 68,000 nyawa penduduk Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sekali gus menjadikan wilayah itu hampir mustahil untuk didiami semula.