WASHINGTON: Hampir separuh daripada ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang bertugas di pejabat lapangan utama Amerika Syarikat (AS) diarahkan untuk membantu penguatkuasaan imigresen, menurut data baharu.
Langkah besar itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan awam dan hala tuju keutamaan penguatkuasaan undang-undang negara tersebut.
Data penjawatan yang diperoleh Senator Demokrat, Mark Warner dan dikongsi kepada The Guardian menunjukkan 45 peratus ejen FBI di 25 pejabat utama negara kini ditugaskan untuk menyokong tindakan keras Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) terhadap imigresen.
Secara keseluruhan, kira-kira 23 peratus daripada 13,000 ejen FBI kini terlibat secara langsung dalam penguatkuasaan imigresen, satu perubahan ketara daripada tugas biasa mereka seperti memerangi jenayah siber, pengedaran dadah, keganasan, pengintipan dan jenayah keganasan, kata Warner yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Senat.
“Apabila anda menarik suku daripada ejen terbaik FBI daripada barisan hadapan dalam memerangi pengganas, pengintip, pengedar dadah dan penjenayah ganas, kesannya jelas, tugas keselamatan negara yang kritikal diketepikan dan negara kita berada dalam risiko yang lebih besar,” kata Warner dalam kenyataan.
Laporan asal oleh The Washington Post menunjukkan FBI kini menukar haluan besar-besaran untuk menyokong kempen imigresen Presiden AS, Donald Trump dengan menyasarkan 3,000 tangkapan setiap hari dan berhasrat untuk memperluas kapasiti pusat tahanan bagi menampung lebih 100,000 pendatang tanpa izin.
Warner turut menegaskan angka tersebut mungkin meremehkan skala sebenar penugasan semula, kerana FBI hanya mengira ejen yang menghabiskan lebih separuh masa kerja mereka dalam penguatkuasaan imigresen.
Beliau percaya lebih daripada suku daripada jumlah jam kerja ejen FBI kini tertumpu kepada imigresen dan di beberapa pejabat lapangan, lebih separuh ejen telah dipindahkan ke bawah seliaan DHS.
Bekas ejen FBI dan aktivis hak sivil, Mike German menyifatkan langkah ini sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah agensi itu.
“Tidak pernah sebelum ini FBI mengarahkan begitu ramai ejen ke misi yang bukan sebahagian daripada mandatnya. Sebahagian ejen mungkin menyokong agenda imigresen presiden, sementara yang lain membantah.
“Dalam skala sebesar ini, keputusan tersebut juga boleh menjadi cara untuk mengenal pasti siapa yang setia kepada pentadbiran dan siapa yang mungkin menjadi penghalang,” katanya.
Penganalisis keselamatan memberi amaran bahawa penukaran keutamaan ini boleh melemahkan keupayaan FBI untuk menangani ancaman keselamatan negara serta meningkatkan ketegangan dalam komuniti yang menjadi sasaran serbuan imigresen.











