SUNGAI SIPUT: Sepasang suami isteri tidak menyangka pokok durian belanda yang ditanam di sekeliling rumah mereka Kampung Sungai Petai Luar, Changkat Jering, Taiping kini menjadi produk komersial yang terjual di seluruh negara.
Bermula dengan jualan air durian belanda, Amirul Hisyam Abdullah dan Husna Abdul Rahman masing-masing berumur 56 tahun menghasilkan pelbagai produk berasaskan durian belanda seperti jus, teh dan pati durian belanda, minyak urut dan balm atau salap.
Menurut pasangan itu, semuanya bermula lebih 10 tahun lalu apabila mereka menanam kira-kira 60 pokok durian belanda di sekeliling rumah dan pada mulanya mereka hanya menjual air durian belanda yang diproses secara konvensional.
“Kami tidak menyangka permintaan air durian belanda amat memberangsangkan sehingga tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Dari situ kami mempelbagaikan produk berasaskan durian belanda seperti seperti jus, teh dan pati durian belanda, minyak urut dan balm atau salap.
“Dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, produk berasaskan durian belanda yang kami usahakan itu kini dikomersialkan dan mendapat sambutan menggalakkan,” katanya ketika ditemui pada karnival Perak Agrofest 2025 di Ladang Infoternak Sungai Siput, di sini baru-baru ini.
Pasangan suami isteri itu menerima bantuan Jabatan Pertanian Perak, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) melonjakkan perniagaannya.
Mereka bukan hanya menerima bantuan berbentuk geran alatan mesin memproses dan melabel tetapi STeP banyak membantu mendapatkan pensijilan halal dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri atau MeSTI.
“Pensijilan halal dan MeSTI ini amat penting untuk memberi keyakinan kepada pengguna terhadap produk kami selain membantu penyelidikan berterusan meningkatkan kualiti produk,” katanya.
Perkembangan ini selaras dengan Niche Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) sebagai Hab IKS Pintar dengan antara tumpuan utama ialah pertanian.
Selain itu, ia menepati flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan flagship kelima Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan dan mensejahterakan rakyat.
Menurut pasangan itu lagi, STeP memberi ruang kepada mereka untuk terlibat dalam ekspo dan pameran perniagaan di seluruh negara secara berkala.
Katanya, STeP membantu secara berterusan menerusi grup WhatsApp dan melakukan kunjungan di premisnya untuk khidmat nasihat berterusan selain kepakaran.
“Inisiatif kerajaan negeri Perak yang membimbing dan membantu usahawan tempatan secara konsisten amat dihargai bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.
“Saya teruja terhadap hala tuju dan perancangan kerajaan negeri terhadap komuniti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seperti saya menerusi pelan Perak Sejahtera 2030 hasil pengalaman menyertai pameran-pameran perniagaan besar yang berlangsung di dalam negara,” katanya. – UTUSAN