GAZA: Hari ini genap dua tahun tentera rejim Israel melakukan genosid di Semenanjung Gaza, menyaksikan hampir 80,000 nyawa diragut dengan kadar kemusnahan di wilayah itu mencapai 90 peratus.
Perang yang kini memasuki hari ke-732 menjejaskan lebih 2.4 juta rakyat Palestin melalui genosid, kebuluran dan pemindahan paksa.
Tentera Israel didakwa menguasai lebih 80 peratus kawasan di seluruh Gaza melalui pencerobohan darat dan pemboman berterusan, termasuk 136 serangan udara terhadap kawasan Al‑Mawasi yang dikategorikan sebagai ‘zon keselamatan kemanusiaan’.
Sejak perang bermula, Israel menjatuhkan lebih 200,000 tan bahan letupan terhadap Gaza, mengorbankan dan mencederakan ratusan ribu penduduk serta memusnahkan prasarana asas wilayah itu.
Laporan Pejabat Media Gaza menyatakan jumlah keseluruhan rakyat Gaza dan orang hilang kini mencapai 76,639 orang dan 9,500 hilang dengan ramai lagi dikhuatiri terkubur di bawah runtuhan.
Jumlah itu merangkumi lebih 20,000 kanak-kanak, 12,500 wanita, 22,426 lelaki.
Seramai 1,670 petugas perubatan, 140 anggota pertahanan awam, 254 wartawan, 787 pegawai polis dan pekerja bantuan serta 894 komuniti sukan turut terkorban.
Sebanyak 39,022 keluarga melalui pembunuhan beramai‑ramai, manakala 2,700 keluarga lenyap sepenuhnya lebih 6,000 keluarga tinggal hanya dengan seorang ahli yang terselamat.
Seramai 460 rakyat Palestin, termasuk 154 kanak-kanak mati akibat kelaparan dan malnutrisi, manakala 23 orang mati akibat kegagalan penurunan udara bantuan, dan 17 orang, kebanyakannya kanak-kanak, mati akibat kesejukan di kem pemindahan.
Lebih 12,000 keguguran kandungan direkodkan akibat kelaparan dan kekurangan penjagaan kesihatan.
Jumlah orang cedera pula 169,583 orang, termasuk 4,800 dipotong anggota badan akibat kecederaan parah, 1,200 kes lumpuh, 1,200 (buta) dan 19,000 memerlukan pemulihan jangka panjang.
Selain itu, 6,700 orang awam ditahan sejak perang bermula, termasuk 362 petugas perubatan, 48 wartawan, dan 26 pekerja pertahanan awam.
Kini terdapat 21,193 balu perang dan 56,348 anak yatim, manakala lebih dua juta orang dijangkiti pelbagai penyakit akibat pemindahan paksa, termasuk 71,000 kes hepatitis.
Sebanyak 38 hospital dibom atau dirosakkan sehingga tidak dapat beroperasi, bersama 96 pusat kesihatan, 197 ambulans, dan 61 kenderaan pertahanan awam.
Kerugian langsung sektor kesihatan dianggarkan bernilai AS$5 bilion (RM21 bilion)
Sektor pendidikan juga hampir musnah dengan 95 peratus sekolah di Gaza rosak dan 90 peratus bangunan memerlukan pemulihan penuh.
Sekurang-kurangnya 165 institusi pendidikan lenyap sepenuhnya, manakala 392 institusi mengalami kerosakan separa.
Dalam peperangan ini, lebih 13,500 pelajar, 830 guru, dan 193 ahli akademik terkorban, manakala 785,000 pelajar kini terputus dari pendidikan.
Kira-kira 268,000 unit rumah musnah sepenuhnya, 148,000 unit rosak teruk dan 153,000 unit mengalami kerosakan separa menyebabkan 288,000 keluarga menjadi gelandangan.
Hampir dua juta orang awam dipindahkan, manakala 293 pusat perlindungan dan pusat pemindahan turut menjadi sasaran.
Semua laluan masuk ke Gaza dilaporkan ditutup selama 220 hari berturut-turut, dengan lebih 120,000 trak bantuan dan bahan api dihalang daripada masuk.
Pejabat Media menganggarkan bahawa 650,000 kanak-kanak berisiko mati akibat malnutrisi, dan 40,000 bayi di bawah umur satu tahun terancam kerana kekurangan susu formula.
Runtuhan infrastruktur di Gaza juga melibatkan 725 perigi air musnah, 5,080 kilometer rangkaian elektrik dan 700,000 meter paip air serta pembetungan dimusnahkan, manakala tiga juta meter jalan dan lebuh raya rosak.
Secara keseluruhan, 247 bangunan kerajaan, 292 kemudahan sukan, dan 208 tapak warisan budaya musnah. Sektor utiliti dan infrastruktur menanggung kerugian melebihi AS$1.4 bilion (RM5.9 bilion) dalam sektor elektrik dan AS$2.8 bilion (RM11.8 bilion) dalam pengangkutan dan komunikasi.
Kekejaman Israel di Gaza menyaksikan wilayah terkepung itu dianggarkan mengalami kerugian keseluruhan sebanyak AS$70 bilion (RM295 bilion). – UTUSAN










