Diacu senjata laser, diperlakukan seperti monyet

Diacu senjata laser, diperlakukan seperti monyet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Aktivis antarabangsa yang dihantar pulang dari Israel selepas menyertai flotilla bantuan ke Gaza mendedahkan mereka dilayan dengan kasar oleh pengawal penjara ketika dalam tahanan.

Dakwaan terbaharu yang dibuat oleh peserta Global Sumud Flotilla (GSF) itu menambah tekanan terhadap Israel pada Ahad, berhubung cara negara haram itu mengendalikan penahanan aktivis terbabit.

Kira-kira 450 peserta flotila ditahan antara Rabu dan Jumaat lalu selepas pasukan keselamatan Israel memintas kapal-kapal yang berusaha memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza dan menghantar sejumlah kecil bantuan kepada rakyat Palestin di wilayah terkepung itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada media di Lapangan Terbang Fiumicino, Rom, selepas pulang pada Ahad, aktivis Itali, Cesare Tofani, mendedahkan mereka diperlakukan sangat teruk dan kasar.

Presiden Kesatuan Komuniti Islam di Itali, Yassine Lafram, berkata kumpulannya dilayan dengan kasar ketika ditahan, malah ada anggota keselamatan Israel mengacukan senjata ke arah mereka.

“Mereka melayan kami dengan sangat kasar dan mengacukan senjata ke arah kami, perkara ini sama sekali tidak boleh diterima bagi sebuah negara yang menganggapnya demokratik,” katanya kepada akhbar Corriere della Sera sejurus tiba di Lapangan Terbang Milan Malpensa, kelmarin.

Sementara itu, wartawan Itali, Saverio Tommasi, memberitahu agensi Associated Press, tentera Israel menahan ubat-ubatan dan memperlakukan aktivis ‘seperti monyet’ sepanjang tempoh penahanan.

Tommasi turut memberitahu, pengawal Israel mengejek dan menghina aktivis yang ditahan, termasuk Greta Thunberg, cucu kepada Nelson Mandela, Mandla Mandela, serta beberapa ahli Parlimen Eropah, semata-mata untuk memalukan dan memperlekeh mereka.

Seorang lagi wartawan Itali, Lorenzo D’Agostino, mendakwa barangan peribadi serta wang miliknya dicuri oleh pihak Israel ketika dia ditahan.

Bercakap kepada Associated Press sebaik tiba di Lapangan Terbang Istanbul, D’Agostino turut mendakwa aktivis diugut dengan anjing pengesan dan askar Israel mengacukan senjata laser ke arah aktivis untuk menakut-nakutkan mereka.

Seorang lagi aktivis, Paolo De Montis, menggambarkan dirinya mengalami tekanan dan penghinaan berterusan oleh pengawal penjara Israel.

Dia dikurung berjam-jam di dalam van tahanan dengan tangan diikat menggunakan kabel plastik, malah dilarang memandang pengawal secara langsung.

“Kami tidak dibenarkan memandang muka mereka, sentiasa menundukkan kepala dan apabila saya mendongak, seorang lelaki datang menggoncang saya serta menampar belakang kepala.

“Mereka juga memaksa kami berlutut selama empat jam,” katanya.

Kementerian Luar Israel dan Menteri Keselamatan Negara berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir, memberikan reaksi bercanggah terhadap dakwaan layanan buruk yang dibuat oleh aktivis flotila.

Kementerian itu menafikan tuduhan berkenaan sebagai “pembohongan terang-terangan”, manakala Ben-Gvir pula secara terbuka memuji tindakan keras terhadap tahanan di penjara Ketziot, dengan menyifatkannya sebagai langkah yang wajar.

“Saya berbangga kerana kami melayan ‘aktivis flotila’ sebagai penyokong keganasan. Sesiapa yang menyokong pengganas adalah pengganas dan layak menerima layanan seperti mereka.

“Jika mereka menyangka akan disambut dengan karpet merah dan tiupan trompet, mereka silap besar. Mereka patut merasai sendiri keadaan di penjara Ketziot dan berfikir dua kali sebelum mendekati Israel lagi,” kata Ben-Gvir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×