Cipta kenangan bersama anak-anak sempena Fly High Fun Run STB 2.0

Cipta kenangan bersama anak-anak sempena Fly High Fun Run STB 2.0

NOR Zaitun Ibrahim melepaskan para peserta bersempena Fly High Fun Run Sekolah Tengku Budriah (STB) 2.0 di padang kawad Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis hari ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Lebih 1,000 murid termasuk ibu bapa teruja sekali gus mencipta kenangan bersama ketika menyertai Fly High Fun Run Sekolah Tengku Budriah (STB) 2.0 yang berlangsung penuh meriah di padang kawad Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, di sini hari ini.

Acara yang memasuki edisi kedua itu membabitkan larian di sekitar kawasan kampus UiTM sambil peserta turut menikmati keindahan kebun dan denai di kawasan pusat pengajian tinggi itu.

Pelepasan larian yang bermula pukul 9 pagi itu disempurnakan oleh Guru Besar STB, Nor Zaitun Ibrahim dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Dr. Ismail Ma’arof.

Program berkenaan yang juga bersempena dengan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) itu
dirasmikan oleh Rektor UiTM cawangan Perlis, Prof. Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor.

Zaitun berkata, acara larian tersebut terus mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja daripada murid-murid sebaliknya ibu bapa yang turut bersama memberikan sokongan dengan menyertai larian.

Katanya, acara tersebut bukan sahaja untuk beriadah dan menjalani aktiviti sihat, tetapi turut membuka ruang kepada ibu bapa mencipta kenangan bersama anak-anak.

“Selain ibu bapa dan murid-murid, guru-guru juga bersama-sama menyertai larian yang melibatkan laluan yang lebih menarik pada edisi kali ini.

“Jika sebelum ini, ada ibu bapa yang sibuk bekerja dan aktiviti ini menjadi platform terbaik untuk beriadah bersama anak-anak sekali gus mencipta kenangan indah,” katanya.

Sementara itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak UiTM Perlis yang menyediakan tempat selain menjaga dalam soal aspek keselamatan para peserta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN