WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan penempatan 300 anggota Pengawal Kebangsaan ke Chicago selepas ejen persekutuan menembak seorang pemandu yang didakwa bersenjata kelmarin.
Menurut jurucakap Rumah Putih, Abigail Jackson, kerahan itu dibuat bagi melindungi pegawai dan aset persekutuan.
Tindakan berlaku di tengah ketegangan yang memuncak di seluruh AS melibatkan tindakan keras antijenayah dan anti imigran pentadbiran Trump, dengan Demokrat menuduhnya cuba merebut kuasa autoritarian.
“Presiden Trump tidak akan menutup mata terhadap pelanggaran undang-undang yang dicabuli di bandar-bandar Amerika,” kata Jackson dalam kenyataan.
Senator Illinois, Dick Durbin, menggelar langkah itu sebagai perkara yang memalukan dalam sejarah negara.
“Presiden tidak berniat untuk memerangi jenayah. Beliau hanya mahu menyebarkan ketakutan,” katanya.
Dalam kejadian pada Sabtu, seorang ejen persekutuan di Chicago menembak seorang pemandu selepas pegawai penguatkuasa dilaporkan dikepung oleh 10 kereta, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).
Portland dan Chicago menjadi sasaran terbaharu dalam pelaksanaan serbuan pentadbiran Trump, selepas penempatan tentera ke Los Angeles dan Washington.
Trump berulang kali menggelar Portland ‘dimusnahkan perang’ dan sarat jenayah keganasan, namun cubaan Trump menghantar tentera ke Portland, bandar diterajui Demokrat, dihalang oleh Hakim Daerah AS, Karin Immergut.
Dalam perintah mahkamahnya, Immergut menyatakan keputusan Presiden Trump langsung tidak berasaskan fakta.
“Walaupun bandar itu menyaksikan beberapa serangan terhadap pegawai dan aset persekutuan, pentadbiran Trump gagal menunjukkan episod keganasan tersebut sebahagian cubaan tersusun untuk menggulingkan kerajaan secara keseluruhan.
“Protes di Portland tidak menimbulkan bahaya pemberontakan dan pasukan penguatkuasa undang-undang mampu menangani insiden tersebut,” tulis Immergut.- AFP











