Calon SPM raih RM76,000 hasil jual video pornografi kanak-kanak

Calon SPM raih RM76,000 hasil jual video pornografi kanak-kanak di Telegram

MOHD. Khalid Ismail (tengah) menunjukkan peralatan dirampas daripada suspek dalam sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh pendapatan RM76,000 dalam tempoh sembilan bulan dengan menjual Bahan Penganiayaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM) serendah RM30.

Remaja lelaki itu menggunakan aplikasi Tumblr memuat turun bahan CSAM sebelum dia mewujudkan kumpulan Teleg­ram bagi menjual bahan itu.

Kebanyakan pelanggan yang menyertai kumpulan Telegram itu terdiri daripada rakan-rakan kepada pelajar terbabit.

Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), dengan kerjasama erat Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC), berjaya menumpaskan kegiatan jenayah membabitkan bahan CSAM di ruang siber menerusi pelaksanaan operasi khas Op Pedo Bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM)–SKMM 2.0 bermula 22 hingga 30 September lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, antara dapatan penting hasil operasi itu termasuk penglibatan individu yang diberi amanah seperti guru agama dan golo­ngan remaja iaitu pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai pelaku antara usia 17 hingga 21 tahun.

“Salah satu tangkapan berusia 17 tahun mencatat aliran kewangan untuk sembilan bulan pertama tahun ini dengan jumlah RM76,000.

“Ini menunjukkan peralihan tahap moral yang membimbangkan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini semalam.

Beliau berkata, peningkatan drastik fail CSAM dari tahun ke tahun membimbangkan sekali gus memerlukan kapasiti penyiasatan, kepakaran forensik digital serta infrastruktur penyimpanan bukti bagi menampung pertumbuhan eksponen data jenayah.

“Penemuan ini menuntut pendekatan penguatkuasaan berasaskan prinsip kerjasama erat antara agensi dalam menumpaskan jenayah yang dimaksudkan.

“PDRM menegaskan bahawa jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian adalah jenayah yang amat serius dan tidak akan dikompromi,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd. Khalid berkata, siasatan pihak polis terhadap ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low masih diteruskan dan belum ditutup.

Beliau berkata, perkembangan terkini berkaitan kes berkenaan sentiasa diteliti dan polis akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut keperluan siasatan.

“Isu ini tidak perlu dibincangkan secara terbuka kerana tindakan masih lagi seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini. Siasatan masih dijalankan,” katanya.

Jho Low masih menjadi individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini media antarabangsa melaporkan Jho Low disyaki menetap di Shanghai, China dengan identiti palsu menggunakan pasport Australia atas nama Constantinos Achilles Veis.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN