Cabaran sediakan menu tidak pedas untuk delegasi

Cabaran sediakan menu tidak pedas untuk delegasi

HISHAM Jaafar ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyediaan makanan yang memenuhi keperluan dan kesesuaian delegasi antarabanga antara cabaran perlu dihadapi termasuk sempena majlis Makan Malam Delegasi ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam ini.

Chef eksekutif, Hisham Jaafar berkata, penyediaan menu melibatkan 150 orang kru dapur itu menuntut keseimbangan antara citarasa tempatan dan selera antarabangsa terutama melibatkan tetamu kehormat daripada pelbagai negara.

“Kami persembahkan hidangan itu dengan gaya yang kelihatan Barat, daripada persembahan hinggalah kepada sosnya. Namun dalam sos itu, kami tetap masukkan elemen tempatan seperti serai, daun limau purut dan unsur masak lemak,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Berpengalaman hampir 18 tahun dalam bidang kulinari, Hisham menjelaskan asas hidangan yang disediakan sebenarnya berteraskan masakan tradisional tempatan.

“Sebenarnya asas hidangan itu adalah masak lemak, tetapi kami olah dan beri sentuhan lebih moden supaya tampil lebih kemas dan eksklusif.  Sosnya juga diperincikan agar rasanya lebih halus serta sesuai dengan citarasa antarabangsa,” ujarnya.

Katanya, antara cabaran utama adalah untuk memastikan menu disediakan sesuai dengan keperluan diet tetamu, khususnya ketua-ketua negara luar yang kebanyakannya tidak boleh makan pedas.

“Jadi kami perlu olah resipi itu tanpa mengubah identitinya, supaya mereka tetap dapat merasai keunikan masakan Malaysia walaupun dalam versi lebih ringan,” jelasnya.

Kata Hisham, pengalaman luas dalam penyediaan hidangan di peringkat tempatan dan antarabangsa banyak membantu pasukannya menyeimbangkan rasa agar dapat diterima semua pihak.

“Alhamdulillah, kami mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa dan juga tempatan jadi kami tahu bagaimana untuk seimbangkan rasa dan persembahan supaya kedua-dua pihak tetamu tempatan dan luar negara boleh menerimanya.

“Bagi tetamu dari negara-negara ASEAN, insya-Allah tiada masalah kerana mereka biasanya boleh menerima cita rasa kita,” tambahnya.

Mengulas lanjut, katanya, sepanjang tempoh tiga hari penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pasukannya perlu menyediakan hidangan bagi lima waktu makan sehari termasuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam untuk hampir 15,000 tetamu.

“Bayangkan, sehari kami perlu menyediakan makanan bagi lima waktu untuk 15,000 tetamu. Ia memang mencabar, tapi Alhamdulillah pasukan kami sudah bersedia sepenuhnya.

“Malam ini tiada durian, tetapi kami gantikan dengan pilihan buah-buahan tempatan yang kepada tetamu,” katanya menutup bicara.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×