Biden selesai rawatan terapi radiasi kanser prostat

Biden selesai rawatan terapi radiasi kanser prostat

JOE BIDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, 82, selesai menjalani rawatan terapi radiasi susulan daripada diagnosis kanser prostat yang disahkan merebak, menurut jurucakapnya seperti dilaporkan CBS News.

Biden pada Mei lalu mengumumkan menghidap kanser prostat yang agresif dan berisiko tinggi, sebelum memulakan rawatan terapi radiasi di Klinik Onkologi Radiasi Universiti Pennsylvania pada awal Oktober.

Anak perempuannya, Ashley Biden, berkongsi rakaman di Instagram memaparkan Biden membunyikan loceng perak bersama seorang doktor di klinik berkenaan, satu simbol kejayaan pesakit menamatkan fasa rawatan penting.

“Sudah bunyikan loceng! Terima kasih kepada semua doktor, jururawat dan kakitangan di Penn Medicine. Kami amat bersyukur!” tulis Ashley dalam hantaran tersebut yang turut menunjukkan gambar Biden bersama isterinya, Jill Biden, serta dua cucu mereka.

Ashley turut memuji semangat bapanya dengan menulis: “Ayah begitu tabah sepanjang rawatan ini. Kami amat bersyukur.”

Selain terapi radiasi, Biden turut menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kulit pada September lalu.

Jurucakapnya, Kelly Scully, memaklumkan prosedur itu dikenali sebagai pembedahan Mohs, yang bertujuan membuang lapisan kulit yang dijangkiti kanser sehingga tiada lagi kesan sel berbahaya dikesan.

Kanser prostat merupakan antara jenis kanser paling lazim dalam kalangan lelaki, dengan dianggarkan satu daripada lapan lelaki akan mengalaminya sepanjang hayat.

Dalam kes Biden, kanser tersebut telah merebak ke tulang, menjadikan rawatan lebih mencabar berbanding kes yang masih terhad pada kawasan prostat.

Kesihatan fizikal dan mental Biden menjadi tumpuan semasa kempen pilihan raya presiden 2024, sehingga beliau menarik diri daripada pencalonan tiga bulan sebelum pilihan raya November lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN