Belanjawan 2026: Projek Air Space Sandbox buka ruang penyelidikan, inovasi  - Utusan Malaysia

Belanjawan 2026: Projek Air Space Sandbox buka ruang penyelidikan, inovasi 

PEMBANGUNAN projek Air Space Sandbox membuka ruang untuk penyelidikan dan inovasi dalam bidang teknologi penerbangan altitud rendah.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengumuman peruntukan Belanjawan 2026 bagi pembangunan projek Air Space Sandbox membuka ruang untuk penyelidikan dan inovasi dalam bidang teknologi penerbangan altitud rendah.

Projek diumumkan itu bakal menjadi fasiliti ujian penerbangan altitud rendah pertama di Malaysia yang akan dibangunkan di Sungai Batu Pahat, di sini.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Datuk Prof. Dr Zaliman Sauli berkata, fasiliti itu akan menjadi platform penting untuk menguji dan membangunkan teknologi penerbangan altitud rendah khususnya sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) serta kapal terbang autonomi dalam persekitaran terkawal dan selamat.

“Pembangunan Air Space Sandbox ini akan membuka ruang kepada penyelidikan dan inovasi dalam pelbagai bidang termasuk logistik, pertanian pintar, keselamatan dan pemetaan udara.

“Ia turut melibatkan kerjasama strategik bersama beberapa rakan industri aeronautik utama,” katanya, di sini, hari ini.

Menerusi Belanjawan 2026, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM16 juta bagi bidang Aeronautik di mana di mana sebahagian daripadanya diperuntukkan untuk pembangunan projek Air Space Sandbox.

Mengulas lanjut, Zaliman berkata, pengumuman projek itu juga selaras dengan aspirasi nasional bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam teknologi penerbangan dan dron.

“Selain itu, ia dapat menyokong pembangunan bakat berkemahiran tinggi dalam bidang aeronautik dan teknologi tanpa pemandu,” katanya.

Dalam pada itu, Zaliman berkata, Unimap juga komited untuk terus menerajui penyelidikan berimpak tinggi melalui pendekatan kolaboratif antara akademia, industri dan kerajaan.

Tambah beliau, pihaknya juga berbesar hati atas kepercayaan serta sokongan berterusan terhadap usaha Unimap dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan teknologi aeronautik negara.

“Kami amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terhadap keupayaan Unimap dalam memperkasa sektor aeronautik negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN