KUALA PILAH: Golongan penoreh getah berharap kerajaan dapat mengumumkan penyemakan semula harga lantai getah serta menaikkan kadar Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) pada pembentangan Belanjawan 2026, esok.
Penoreh getah, Abas Mohd. Khalel, 59, berkata, harga lantai getah masih di sekitar RM3 sekilogram namun harga di peringkat pembeli sering jatuh di bawah paras itu sehingga mencecah RM 2.75 sekilogram, malah berbeza mengikut negeri.
“Penyelarasan harga sama untuk semua negeri amat diperlukan supaya nasib penoreh lebih terbela dan hasil jualan tidak terlalu rendah berbanding kawasan lain.
“Macam di Negeri Sembilan, hendak dapat RM3 pun susah. Ada negeri boleh sampai RM 3.20 atau RM 3.50. Jadi kalau kerajaan boleh selaraskan harga getah untuk seluruh negara, barulah adil untuk semua penoreh,” katanya ketika ditemui di Kampung Air Taling, Johol, di sini.
Dia berkata, harga lantai sekitar RM3.50 sekilogram sudah memadai bagi membantu penoreh menampung kos sara hidup, terutama ketika cuaca tidak menentu yang menjejaskan hasil torehan.
“Kalau harga getah naik RM 3.50 pun tidak apa, sebab musim hujan ini kami tidak boleh menoreh agak lama. Jadi, jika harga getah naik dapatlah juga simpan sedikit,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga berharap agar bantuan bahan peralatan penorehan serta input pertanian diperluas dan disalurkan dengan lebih teratur agar penoreh tidak perlu berulang kali memohon di cawangan berbeza.
Seorang lagi penoreh, Mohd. Najib Ahmad, 45, pula berharap, supaya kadar BMT sebanyak RM800 ketika ini dinaikkan bagi menampung perbelanjaan keluarga sepanjang tempoh musim tersebut.
“Saya harap bantuan tersebut dinaikkan supaya kami boleh bertahan semasa tidak boleh menoreh dua tiga bulan,” katanya.
Mohd. Najib turut menyuarakan kebimbangan apabila hasil bulanan semakin berkurangan kerana pendapatannya bergantung sepenuhnya dengan menoreh getah.
Katanya, purata pendapatannya kini adalah hanya sekitar RM600 hingga RM700 sebulan selepas dibahagi dengan pemilik kebun, bergantung pada cuaca serta keluasan kebun.
“Kalau hujan, memang tiada pendapatan langsung. Kadang-kadang cari alternatif lain macam bersihkan kebun orang. Tetapi kalau harga getah naik sedikit, lega juga kami,” katanya.
Dia juga berharap agar kerajaan dapat mengagihkan anak pokok getah bermutu tinggi bagi meningkatkan penghasilan getah dalam negara.-UTUSAN.