Belanjawan 2026: Kawal hutang, pertahan pertumbuhan

Belanjawan 2026: Kawal hutang, pertahan pertumbuhan

ANWAR Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, semalam. - JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan membentangkan cadangan belanjawan Persekutuan RM419 bilion untuk 2026 ketika Putrajaya memberi amaran pertumbuhan ekonomi lebih rendah disebabkan perang tarif global, mengimbangi defisit kewangan dan mengelak negara terjerumus hutang tidak terkawal.

Kerajaan Madani yang me­ngambil alih Putrajaya kira-kira tiga tahun lalu tidak memperkenalkan cukai baharu kecuali rokok dan arak, mengekalkan subsidi walaupun ekonomi negara dijangka lebih rendah tahun hadapan akibat permintaan luar yang menurun dan kesan perang tarif kepada eksport Malaysia.

Untuk tahun hadapan, kerajaan mencadangkan peruntukan Persekutuan RM338.2 bilion untuk belanja mengurus dan RM81 bilion untuk pembangunan berbanding RM421 bilion yang diperuntukkan pada 2025 merangkumi RM335 bilion untuk mengurus dan RM86 bilion belanja pemba­ngunan.

Perbelanjaan mengurus me­ningkat satu peratus, sebahagian besar disebabkan kenaikan gaji kakitangan awam dan bayaran persaraan berbanding 2025 tetapi peruntukan untuk pembangunan susut 5.8 peratus berbanding tahun ini.

Keperluan untuk mencapai defisit fiskal 3.5 peratus serta unjuran pendapatan yang le­bih rendah memaksa Putrajaya mengurangkan peruntukan pembangunan dan tanggungan hutang negara.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurusan kewangan dan defisit menjadi tumpuan bagi menyelamatkan negara daripada hutang yang menjejaskan masa depan negara

“Kita menolak budaya me­numpuk hutang tanpa kawalan, kita melawan ketirisan dan kebobrokan dan kita benci kemewahan kelompok elit yang dibayar dengan kesengsaraan rakyat.

“Pentadbiran Madani harus membina kecekapan fiskal, menutup ruang ketirsan dan memperkukuh institusi negara dalam menaikkan si­ling ekonomi dan lantai hidup rakyat,” katanya ketika mencadangkan Belanjawan 2026 yang juga permulaan kepada Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat semalam.

Bagi memastikan pertumbuhan ekonomi tidak terjejas, kerajaan mengoptimum sumber syarikat pelaburan awam berkaitan kerajaan (GLIC), pelaburan awam-swasta, pe­laburan Badan Berkanun Per­sekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).

Anwar mengumumkan RM30 bilion pelaburan GLIC, RM10 bilion pelaburan awam-swasta, RM10.8 bilion Badan Berkanun Persekutuan dan MKD.

Dalam ucapan belanjawan, Anwar turut memberi amaran mengenai cabaran ekonomi Malaysia yang dijangka tumbuh lebih perlahan pada kadar empat hingga 4.5 peratus pada 2026 berbanding unjuran empat hingga 4.8 peratus tahun ini.

Penganalisis menjangkakan ekonomi Malaysia akan perlahan kepada 4.2 peratus pada 2026 berbanding unjuran asal 4.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini.

Nilai kek ekonomi Malaysia dijangka mencapai RM1.8 trilion untuk tahun depan berbanding unjuran RM1.72 trilion tahun ini.

Daripada cadangan peruntukan RM419 bilion dalam belanjawan yang dibentangkan RM109.4 bilion untuk emolumen, RM42.7 bilion untuk bayaran persaraan dan RM49 bi­lion untuk subsidi dan bantuan sosial.

Anwar yang juga Perdana Menteri tidak memperkenalkan cukai baharu manakala kerajaan mengekang kenaikan kos sara hidup yang menjadi rungutan orang ramai dengan tambahan bantuan SARA dan bantuan lain.

Rasionalisasi RON95 yang bermula akhir bulan lalu di­jangka mengurangkan kos subsidi kerajaan kira-kira RM2.5 bilion selain menikmati penjimatan RM7 bilion daripada rasionalisasi diesel yang dilaksanakan pada Jun 2024

Katanya, penjimatan subsidi diesel dan RON95 dipulangkan kepada rakyat menerusi SARA dan bantuan lain.

Tahun depan menyaksikan kerajaan menambah bantuan berterusan untuk Sumba­ngan Tunai Rahmah (STR) dan SARA dengan jumlah yang lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN