BATU GAJAH: Bantuan berterusan Jabatan Pertanian Perak sejak 2023 membolehkan seorang wanita cekal, Azizah Abdullah, 44, mampu keluar daripada zon kritikal dalam fasa kehidupan keluarganya dan kini bergelar seorang usahawan bakeri berjaya.
Menurut isteri kepada Azril Aun, 52, ini, bantuan geran peralatan seperti mesin pengadun skala industri, ketuhar, meja kerja dan dulang yang bernilai RM9,000 itu membolehkan perniagaannya dapat dikomersialkan secara skala lebih besar.
“Saya mula secara aktif apabila suami diserang penyakit gout yang serius menyebabkan dia tidak boleh berjalan, membataskan pergerakan selain tidak boleh melakukan aktiviti fizikal seperti insan normal lain.
“Saya boleh dikatakan mengambil alih peranan sebagai ketua keluarga dan mula berkecimpung dalam bidang bakeri ini sejak 2018 bermula dengan jualan roti secara kecil-kecilan berdekatan sebuah pasar raya untuk menyara keluarga termasuk dua anak yang masih bersekolah,” katanya ketika ditemui dipremisnya di Batu Gajah Transit di sini semalam.
Katanya lagi, setakat ini, terdapat lebih 100 unit simpanan stok (sku) produk berkaitan bakeri yang dihasilkannya malah mampu menawarkan pekerjaan kepada tiga anak tempatan.
“Saya turut memberi tumpuan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada tiga pekerja itu supaya mereka dapat mengusahakan perniagaan bakeri pada masa depan.
“Selain pasaran secara fizikal saya turut aktif dalam media sosial Facebook selain menjadi vendor kepada Petronas dengan membekalkan roti premium secara berkala untuk 23 stesen minyak firma korporat itu di seluruh negeri.
“Malah, saya mendapat kontrak untuk membekalkan roti jenama Mikaesya yang ditempatkan dalam mesin layan diri di Hospital Batu Gajah selain membantu peniaga dan pekebun tempatan untuk bekalan bahan mentah,” katanya.
Ujarnya, pendapatan kasarnya setiap bulan boleh mencecah sehingga lima angka yang biasanya akan meningkat pada musim perayaan dan cuti persekolahan.
“Saya turut mendapat pinjaman tanpa faedah sebanyak RM10,000 oleh Yayasan Perak untuk memperkembangkan lagi perniagaan sedia ada selain Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) melibatkan saya dalam ekspo dan pameran di seluruh negeri.
“Bantuan berterusan ini membolehkan saya meningkatkan taraf kehidupan keluarga selain mampu membeli kenderaan secara tunai untuk menghantar stok roti di seluruh negeri,” katanya.
Pencapaian Azizah menepati pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche daerah Kinta sebagai sebahagian dari Koridor TVET Malaysia dengan tumpuan utama melibatkan Pusat Perniagaan.
Bantuan itu juga selaras dengan flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan flagship keempat, Koridor TVET Malaysia.
Selain itu, flagship kelima iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Warga 1 Skill dan 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan dan mensejahterakan rakyat.-UTUSAN.