AS tawar RM10,000 untuk remaja migran pulang ke negara asal

AS tawar RM10,000 untuk remaja migran pulang ke negara asal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) bercadang menawarkan bayaran sebanyak AS$2,500 (RM10,000) kepada remaja migran yang bersetuju pulang secara sukarela ke negara asal masing-masing, menurut satu memorandum pentadbiran pada Jumaat.

Memorandum yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) AS berkata, pegawai imigresen mengenal pasti kanak-kanak migran tanpa penjaga berusia 14 tahun ke atas yang kini berada dalam tahanan dan berhasrat meninggalkan AS secara sukarela.

Menurut kenyataan itu, pentadbiran berkenaan akan menyediakan bayaran sokongan penempatan semula sekali sahaja sebanyak AS$2,500 kepada kanak-kanak tanpa penjaga berusia 14 tahun dan ke atas yang memilih untuk meninggalkan AS secara sukarela bermula dari tarikh notis dikeluarkan dan selepasnya.

Langkah tersebut, menurut HHS, bertujuan membantu usaha penyesuaian semula sebaik mereka kembali ke negara asal masing-masing.

Namun, kanak-kanak tanpa penjaga dari Mexico tidak layak menerima bantuan itu.

Pada peringkat awal, tawaran tersebut akan diberikan kepada migran berusia 17 tahun dan perlu mendapat kelulusan daripada hakim imigresen sebelum dilaksanakan.

Sejak mengambil alih pentadbiran, Presiden AS, Donald Trump giat melaksanakan dasar pemulangan semula kanak-kanak migran, termasuk memotong peruntukan program persekutuan yang menyediakan bantuan guaman kepada golongan itu serta mengehadkan akses kepada wakil undang-undang.

Setakat 2 Oktober lalu, dianggarkan seramai 2,100 kanak-kanak migran tanpa penjaga masih berada dalam tahanan AS.

Pentadbiran Trump kini meningkatkan usaha memulangkan mereka, termasuk cubaan pada Ogos lalu untuk menghantar pulang puluhan kanak-kanak Guatemala yang akhirnya dibatalkan atas faktor keselamatan ibu bapa.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN