WASHINGTON: Pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka mengadakan rundingan di Malaysia minggu hadapan sebagai usaha mempersiapkan pertemuan antara presiden kedua-dua negara, kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, hari ini.
Rundingan itu diadakan ketika ketegangan perdagangan kembali meningkat menjelang pertemuan antara Presiden Donald Trump dan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping, yang dijadual berlangsung di Korea Selatan pada hujung Oktober ini.
Menurut Bessent, beliau dijangka mengadakan perbualan telefon dengan Naib Perdana Menteri China, He Lifeng, malam ini bagi membincangkan persiapan awal pertemuan tersebut.
“Pasukan saya dan delegasi China yang diketuai Naib Perdana Menteri akan bertemu di Malaysia, mungkin kira-kira seminggu dari sekarang, bagi mempersiapkan pertemuan kedua-dua presiden,” katanya ketika menghadiri mesyuarat makan tengah hari Presiden Trump bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky di Rumah Putih.
Beliau turut menyatakan keyakinan hubungan perdagangan antara Washington dan Beijing kini menunjukkan tanda-tanda penurunan ketegangan.
“Kami berharap China akan menunjukkan rasa hormat seperti mana yang kami tunjukkan kepada mereka. Saya yakin Presiden Trump, berdasarkan hubungan baiknya dengan Presiden Jinping, mampu mengembalikan keadaan ke landasan yang positif,” jelas Bessent.
Sementara itu, Trump mengesahkan beliau akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Jinping semasa kedua-duanya menghadiri sidang kemuncak ekonomi Asia-Pasifik di Korea Selatan hujung bulan ini.
“Kami sedang berbincang dan saya percaya kami akan mencapai satu perjanjian yang baik untuk kedua-dua pihak. Saya rasa kami boleh lakukan sesuatu,” katanya.
Ketegangan perdagangan antara kedua-dua kuasa besar itu meningkat baru-baru ini apabila China mengumumkan kawalan eksport baharu terhadap mineral nadir bumi, mendorong Trump mengancam untuk mengenakan tarif tambahan 100 peratus terhadap barangan import dari China.
Sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu, Trump belum pernah mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan Jinping. — AGENSI