Apa status LPT3 selepas hampir dua dekad?

Apa status LPT3 selepas hampir dua dekad?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK diumumkan 19 tahun lalu, cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang menghubungkan Terengganu dan Kelantan masih tergantung.

Panjang jajaran utama LPT3 yang pernah dikaji adalah sejauh 147 kilometer dari Kampung Gemuruh di Kuala Terengganu hingga Pengkalan Kubur, Kelantan melibatkan pembinaan jalan dengan empat lorong dua hala.

Sebanyak tiga daerah di Terengganu terlibat iaitu Kuala Terengganu, Setiu dan Besut manakala lima daerah di Kelantan melibatkan Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas, Kota Bharu serta Tumpat.

Syor pembinaannya adalah bagi memperkukuh dan me­ningkatkan kesalinghubungan serta mendorong pertumbuhan ekonomi yang manfaatnya dapat dirasai oleh 3.14 juta penduduk Terengganu dan Kelantan.

Gara-gara beberapa kali penangguhan, LPT3 yang di­umum sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada 2006 dengan kos asal RM2.867 bilion kini meningkat kepada RM9.8 bilion.

Isu pembinaannya kembali hangat selepas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kemaman membangkitkannya semasa sesi Perbahasan Belanjawan 2026 di Parlimen, minggu lalu.

Ia turut dibangkitkan beberapa ahli Parlimen lain yang menuntut komitmen penuh Kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaannya.

Ahmad Samsuri memper­soal keutamaan Kerajaan Per­sekutuan dalam menyeimbangkan jurang antara wilayah apabila projek pengangkutan di negeri lain terus diberi perhatian dalam belanjawan tahunan berbanding projek LPT3.

Beliau menekankan Terengganu sebagai negeri Pantai Timur berhak mendapat projek lebuh raya berimpak tinggi seperti LPT3 bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

Katanya, walaupun kajian awal LPT3 sudah siap sejak Ogos 2022, projek itu masih tidak dimasukkan dalam RMK-13 dan Belanjawan 2026. Ia kekal di peringkat Permintaan Untuk Cadangan (RFP) sahaja.

Berdasarkan semakan ja­wapan-jawapan menteri ber­kaitan sebelum ini, syor pembinaan lebuh raya itu belum dimuktamad dan memerlukan penelitian mendalam terma­suk aspek kemampuan pihak konsesi.

Tender belum diberikan kepada mana-mana pihak ke­rana perlu melalui proses RFP terlebih dahulu. Sama ada syarikat konsesi berminat atau tidak ia perlu dinilai.

Mengambil kira tuntutan dan perkiraan kedua-dua belah pihak yang mempunyai asas tuntutan serta pertimbangan dalam membuat keputusan, pembinaan LPT3 perlu dimuktamadkan. Diteruskan, batal atau ada alternatif lain.

Sudah hampir dua dekad, usah biarkan cadangan projek fizikal pembinaan LPT3 kekal tergantung.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×