PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino sempena kunjungan rasmi pemimpin badan bola sepak dunia itu ke Malaysia, hari ini.
Menurut Anwar, pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem bola sepak Malaysia dan rantau ASEAN termasuk pelaksanaan projek FIFA Arena yang dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan bakat tempatan dan peningkatan prasarana bola sepak negara.
Katanya, perbincangan turut menjurus kepada Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA yang disifatkan sebagai langkah strategik membuka lembaran baharu ke arah menjadikan rantau ini sebagai kuasa bola sepak disegani di peringkat global.
“Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak melalui peningkatan kemudahan, latihan berstruktur serta kerjasama strategik bersama FIFA.
“Ini merupakan langkah penting untuk melahirkan generasi baharu pemain berbakat, memperkukuh ekosistem sukan profesional dan mengangkat nama negara sebagai hab pembangunan bola sepak serantau,” katanya.
Pertemuan itu turut memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-FIFA dalam bidang pembangunan sukan dan pendidikan, selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan bola sepak sebagai platform penyatuan dan kemajuan masyarakat.
Infantiono mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Sebagai rekod, Infantino pernah melawat Malaysia pada April 2019, ketika mengetuai delegasi pemimpin bola sepak dunia yang mengadakan kunjungan hormat terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. – UTUSAN









