KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) dikatakan hanya diberikan satu kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan.
Sumber memaklumkan, nama Zulfikar Ab Mijan disebut sebagai calon yang akan dicalonkan di kerusi tersebut di mana kawasan itu juga dikaitkan dengan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Bagaimanapun situasi itu menimbulkan persoalan kerana Amanah yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dilihat akan bertembung dengan Warisan yang merupakan sekutu di peringkat Kerajaan Perpaduan.
“Jika sekutu di Pusat pun boleh bertembung di lapangan negeri, maka di mana letaknya perancangan strategi bersama? Lebih memelikkan, Amanah dan Warisan sama-sama dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi nampaknya mereka bakal bertembung sesama sendiri.
“Mengikut logik, sepatutnya GRS (Gabungan Rakyat Sabah) menentang Warisan. Barulah boleh kita lihat sejauh mana kekuatan sebenar GRS dan Warisan di mata rakyat, sama ada masih kukuh atau sudah goyah, bukannya memberi kemenangan percuma kepada lawan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sumber itu juga berkata, PH tidak mempunyai kekuatan di kawasan tersebut sekali gus Warisan berpotensi menang dengan mudah di Sulabayan.
Sebelum ini, Amanah Sabah melalui Pengerusinya, Husin Ismail memaklumkan, pihaknya memohon lima kerusi DUN untuk ditandingi pada PRN akan datang.
Namun, perkembangan terbaharu menunjukkan parti itu mungkin hanya diberikan satu kerusi iaitu di Sulabayan sebagai ruang membina tapak politik di negeri ini.
Sulabayan sebelum ini merupakan kubu kuat Warisan, apabila calonnya, Datuk Jaujan Sambakong, memenangi kerusi tersebut pada PRN Sabah 2020.-UTUSAN.











