76 maut, 27 masih hilang akibat banjir di Mexico

76 maut, 27 masih hilang akibat banjir di Mexico

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Kerajaan Mexico melaporkan 76 orang maut akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda kawasan tengah dan timur negara itu bulan ini, manakala 27 lagi masih disenaraikan hilang.

Hampir 120 komuniti kekal terputus hubungan akibat jalan dan lebuh raya yang terhalang atau musnah, menurut laporan dibentangkan semasa sidang media Presiden Claudia Sheinbaum, semalam.

“Respons kecemasan… masih belum selesai; kami masih bekerja,” kata Sheinbaum kepada wartawan sambil mengumumkan bantuan berjumlah 10 bilion peso (RM2.2 bilion) untuk kira-kira 100,000 keluarga yang terjejas akibat bencana.

Negeri tengah Hidalgo mencatatkan jumlah daerah yang paling teruk terjejas, iaitu 65, kebanyakannya di kawasan pergunungan di mana laluan akses rosak akibat tanah runtuh.

Veracruz, yang terletak di sepanjang Teluk Mexico di timur negara, pula paling teruk terjejas akibat banjir.

Kerajaan berkata, lebih 12,700 anggota tentera masih berada di lapangan untuk menyampaikan bantuan dan membantu komuniti terjejas.

Menurut ahli meteorologi, hujan lebat yang berlaku minggu lalu menjadi lebih bahaya kerana gabungan sistem tropika dari Teluk Mexico dan had sejuk dari utara, walaupun hujan lebat lazimnya berlaku semasa musim hujan Mexico dari Mei hingga Oktober.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN