600 warden sepenuh masa dilantik pantau asrama

600 warden sepenuh masa dilantik pantau asrama

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 600 pegawai akan dilantik sebagai warden sepenuh masa melalui program Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) bagi memantau pelajar asrama dan mencegah kejadian buli di sekolah-sekolah berasrama di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperkukuh sistem pengurusan asrama serta memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terus terjamin.

“Pengambilan menerusi inisiatif MySTEP itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada sekolah berasrama yang mempunyai jumlah pelajar tinggi.

“Warden terbabit akan diberikan latihan khusus bagi meningkatkan kemahiran dalam pengurusan disiplin, psikososial dan keselamatan pelajar.

“Langkah ini adalah satu bentuk pengiktirafan kepada guru-guru yang selama ini memainkan peranan besar dalam memastikan kebajikan pelajar di asrama terpelihara,” katanya menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, bagi mengurangkan bebanan tugas guru yang dilantik sebagai warden di asrama, mereka akan diberi beberapa pengecualian tugas antaranya penyertaan aktiviti kokurikulum yang diminimumkan, pengecualian daripada dilantik sebagai guru kelas serta pengecualian daripada mengajar pada waktu pertama sesi persekolahan.

“Pendekatan itu memberi ruang kepada guru warden untuk memberi tumpuan terhadap pengurusan pelajar dan keselamatan asrama, khususnya pada waktu malam dan awal pagi yang memerlukan kehadiran fizikal mereka.

“Langkah ini bukan sahaja menjaga kebajikan guru, tetapi juga memastikan pemantauan pelajar dapat dijalankan secara lebih berkesan dan konsisten,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN