KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti sebanyak 470 laluan haram di sepanjang sempadan negara yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti penyeludupan, setakat September tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi membanteras aktiviti tidak bertanggungjawab di laluan haram dikenal pasti itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan PDRM telah melaksanakan kawalan keselamatan di lokasi.
“Kawalan keselamatan sempadan secara tetap dan berkala melalui penugasan kawalan statik di pos-pos tetap sepanjang garis sempadan, kawalan keselamatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), rondaan keselamatan (berjalan kaki atau berkenderaan), sekatan jalan raya dan pengumpulan maklumat risikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen.
Saifuddin menjawab soalan Datuk Khlir Mohd. Nor (PN – Ketereh) yang meminta beliau menyatakan langkah strategik dan bentuk kawalan keselamatan yang sudah dan sedang dilaksanakan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta agensi penguatkuasa berkaitan bagi mengawal, menutup atau memantau laluan haram dan lorong-lorong tikus di sepanjang sempadan negara.
Beliau berkata, antara langkah strategik dan kawalan keselamatan yang dilaksanakan bagi memantau laluan haram dikenal pasti adalah pemantauan dan kawalan berterusan di kawasan hot spot yang kerap digunakan sebagai laluan aktiviti rentas sempadan.
Katanya, pihaknya juga turut mengadakan operasi bersepadu bersama agensi-agensi lain melalui operasi intra atau inter agensi di kawasan sempadan.
“Rondaan bermotosikal bagi laluan darat dan rondaan bot bagi kawasan sungai secara berkala di sepanjang sempadan serta penggunaan teknologi seperti dron bagi tujuan pemantauan khususnya di kawasan sempadan yang sukar dicapai atas faktor geografi.
“Perkongsian maklumat risikan di antara PGA, PDRM bersama agensi penguatkuasan negara jiran untuk membanteras aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.
Beliau berkata, dari segi pembahagian penugasan, kawalan sempadan terletak di bawah tanggungjawab Pasukan Gerakan Am (PGA), PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berdasarkan Kawasan Tanggungjawab (KTJ) sempadan yang telah ditetapkan.
“Manakala Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) merupakan agensi yang bertanggungjawab menjaga pintu-pintu masuk antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










