359,000 peminjam PTPTN tidak pernah bayar hutang

359,000 peminjam PTPTN tidak pernah bayar hutang

NORLIZA ABDUL RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 359,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) didapati tidak pernah langsung membayar semula pinjaman tersebut selepas menamatkan pengajian.

Mereka adalah sebahagian daripada 1.2 juta peminjam culas yang direkodkan setakat ini oleh perbadanan itu dengan jumlah tunggakan pinjaman kini mencecah sebanyak RM11.18 bilion.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim mendedahkan, pihaknya mendapati ada yang bekerja dengan pendapatan tinggi, termasuk mereka yang bekerja di Singapura de­ngan pendapatan gaji tiga kali ganda lebih tinggi berbanding di Malaysia.

Malah, katanya, terdapat juga antara mereka sudah lama be­kerja dengan memperoleh gaji RM6,000 hingga RM10,000 dan ada yang mencecah usia 60 tahun tetapi enggan membayar hutang PTPTN.

“Berdasarkan data sehingga 31 Ogos itu, sebanyak RM5.25 bilion daripada jumlah tunggakan itu melibatkan 359,000 peminjam yang langsung tidak pernah membuat sebarang bayaran selepas menamatkan pengajian.

“Sewajarnya, bagi mereka yang berkemampuan, kita perlu ambil tindakan untuk memastikan kutipan dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Norliza, hasil padanan data bersama beberapa agensi mendapati sekitar 30 peratus atau lebih 300,000 daripada jumlah peminjam culas itu sebenarnya mampu membayar balik pinjaman kerana mereka berkemampuan melancong ke luar negara.

Beliau berkata, biarpun kadar bayaran balik boleh serendah RM100 hingga RM200 sebulan, ada segelintir peminjam menjadikan hutang PTPTN sebagai perkara terakhir dalam keutamaan kewangan mereka.

“Kes sebegini wajar dikenakan tindakan tegas termasuk sekatan perjalanan kerana mereka sebenarnya mampu tetapi tidak mahu mengambil tanggungjawab,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Norliza berkata, kegagalan melunaskan hutang PTPTN berpunca daripada beberapa faktor yang boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama.

“Kategori tidak mampu, baru bekerja, berpendapatan rendah atau belum mendapat pekerjaan tetap.

“Kategori mampu tetapi enggan bayar iaitu mempunyai pendapatan kukuh tetapi tidak menjadikan hutang PTPTN sebagai keutamaan.

“Terdapat juga kategori tidak dapat dikesan kerana menukar nombor telefon, berpindah alamat atau bekerja sendiri tanpa gaji tetap,” katanya.

Menurut beliau lagi, daripada 359,000 peminjam yang langsung tidak membuat bayaran, antara 20 hingga 30 peratus daripada jumlah itu tidak dapat dikesan.

“Ada yang bekerja sendiri atau menjalankan perniagaan tanpa rekod gaji. Namun, kami tetap berusaha menjejaki mereka dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

Norliza turut menegaskan, kadar kutipan yang rendah memberi kesan langsung kepada keupayaan PTPTN menyediakan pinjaman baharu kepada pelajar.

“Setiap tahun, PTPTN memerlukan kira-kira RM3 bilion untuk membantu pelajar baharu dan sedia ada. Jika bayaran balik tidak mencukupi, ia akan menjejaskan kelangsungan dana bagi generasi akan datang,” jelasnya.

Beliau menyeru peminjam yang kini sudah berjaya dan berpendapatan tetap supaya melaksanakan tanggungjawab melunaskan pinjaman, sebagai tanda keinsafan dan membantu pelajar lain memperoleh peluang pendidikan sama.

“Kita bukan mahu menghukum, tetapi mahu mengembalikan semangat tanggungjawab. Apabila peminjam bayar, lebih ramai pelajar baharu dapat dibantu,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2026 baru baru ini, mengumumkan pendidikan percuma PTPTN melibatkan 5,800 pelajar daripada keluarga miskin yang mengikuti pengajian di IPTA dengan peruntukan RM120 juta setahun.

Selain itu, bayaran balik PTPTN dikecualikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan menengah yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA, dengan peruntukan RM90 juta setahun yang akan memberi manfaat kepada sekitar 6,000 peminjam.

Selain itu sekatan perjalanan ke luar negara dikenakan kepada peminjam yang mampu dan bekerja di luar negara tetapi culas membuat bayaran balik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN