31 negeri di Mexico dilanda hujan lebat, 23 orang maut

31 negeri di Mexico dilanda hujan lebat, 23 orang maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 23 maut di Mexico akibat hujan lebat minggu ini, menurut pihak berkuasa tempatan di seluruh negara semalam.

Pihak berkuasa pertahanan awam Mexico melaporkan hujan lebat di 31 daripada 32 negeri, dengan kawasan paling terjejas adalah Veracruz di timur, Queretaro dan Hidalgo di tengah serta San Luis Potosi di bahagian utara-tengah negara itu.

Di negeri Hidalgo, 16 kematian dilaporkan dan 1,000 rumah terjejas.

Lima kematian direkodkan di negeri Puebla, manakala 11 orang masih hilang.

Seorang kanak-kanak maut di negeri Veracruz, dan seorang pegawai polis terbunuh di Queretaro.

Ketua penyelaras pertahanan awam negara, Laura Velazquez berkata, negeri terjejas mengalami tanah dan jalan runtuh serta limpahan sungai.

“Kami sedang berusaha membantu penduduk, membuka semula jalan dan memulihkan bekalan elektrik,” kata Presiden Claudia Sheinbaum di platform X, selepas mengadakan mesyuarat bersama pegawai tempatan serta anggota Kabinet.

Tentera akan membantu mengagihkan bantuan di kawasan terjejas dengan lebih 5,400 anggota dikerahkan bersama peralatan dan kenderaan penyelamat.

Pusat perlindungan turut dibuka bagi menempatkan mereka yang kehilangan tempat tinggal.

Mexico dilanda hujan lebat luar biasa sepanjang tahun 2025, dengan jumlah hujan tertinggi direkodkan di ibu negara, Mexico City.

Ribut Tropika Raymond kini berada di pesisir pantai Pasifik negara itu dan menyebabkan hujan lebat ketika bergerak ke arah utara.

Kerosakan akibat ribut itu dilaporkan di negeri Chiapas, Guerrero, Oaxaca dan Michoacan.

Menurut Pusat Taufan Kebangsaan AS, ribut itu dijangka melanda bahagian selatan Baja California hujung minggu ini.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×